Langkah kedepan kerajaan selepas pasca Belanjawan 2021

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu fokus kepada pelaksanaan Belanjawan 2021 agar apa yang dibentangkan di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini dapat diterjemahkan kepada rakyat dengan baik.

Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed ketika dihubungi Harakahdaily hari ini berkata, ketika ini rakyat mengharapkan agar pelaksanaan belanjawan itu menepati seperti apa yang dibentangkan Menteri Kewangan.

- Advertisement -

“Secepat mana kerajaan boleh merealisasikan belanjawan tersebut, ini yang rakyat mahukan bagi kelangsungan ekonomi mereka.

“Lebih-lebih lagi awal tahun hadapan sesi persekolahan akan bermula, mereka memerlukan lebihan wang tunai bagi keperluan persediaan dan yuran anak-anak ke sekolah.

“Terjemahkan pembentangan belanjawan tersebut dalam konteks bantuan kewangan tunai, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan memperbanyakkan peluang pekerjaan bagi 737,000 individu yang mengganggur,” ujar beliau.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai situasi tegang di Dewan Rakyat bagi meluluskan belanjawan itu di peringkat jawatankuasa, beliau menyarankan agar kerajaan fokus kepada pelaksanaan belanjawan itu kerana rakyat menantikan hasilnya.

“Sesi perbahasan bagus untuk demokrasi bagi menyeimbangkan keadaan dan apa pun input boleh digunakan.

“Walau bagaimanapun, kerajaan perlu move forward dengan tindakan pelaksanaannya,” ujarnya ringkas.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Dato’ Azhar Azizan mengumumkan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).

Pengumuman itu dibuat pada sidang Dewan Rakyat petang tadi selepas diputuskan menerusi undian belah bahagian dengan 108 menyokong, 95 tidak menyokong dan 17 tidak hadir.

Undian belah bahagian dijalankan selepas lebih 15 ahli Parlimen bangun menyokong supaya RUU itu diputuskan menerusi kaedah itu.

Semalam Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi undi belah bahagian dengan sejumlah 105 undi menyokong, 95 tidak bersetuju, manakala 20 ahli Parlimen tidak hadir.

Esok, tiga lagi kementerian menggulung iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. – HARAKAHDAILY 1/12/2020

- Advertisement -