PAS Wilayah ziarah keluarga mangsa rompak bunuh

- Advertisement -

LEMBAH PANTAI: PAS Wilayah Persekutuan menzahirkan simpati dan takziah atas tragedi rompak dan bunuh ketika menziarahi kediaman keluarga mangsa di Bukit Bandaraya Bangsar, di sini petang semalam.

- Advertisement -

Kunjungan delegasi diketuai Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh ini telah disambut sendiri balu mangsa, Saripah Yusof yang juga seorang pesara guru.

Hadir sama pimpinan PAS Kawasan Lembah Pantai iaitu Yang DiPertua, Fauzi Abu Bakar dan Naib Yang DiPertua, Ahmad Sathola Khan serta Ahli Jawatankuasa, Nordin Zalani dan Ahli Jawatankuasa Muslimat, Hapsyah Ishak.

Saripah ketika melayani delegasi telah menceritakan detik kejadian mengorbankan suaminya, Dr Wan Hassan Wan Embong dan sempat menunjukkan laluan digunakan perompak memasuki kediamannya serta kebun sayur hidroponik diusahakan arwah.

Almarhum Dr Wan Hassan yang bersara sebagai penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah dibunuh ketika kejadian rompakan di kediamannya ini kira-kira jam 3:30 pagi kelmarin.

Al-Marhum yang juga adik kepada bekas Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat, Dato’ Wan Mutalib Wan Embong juga pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Bahagian IT MARDI.

Malah, semasa PAS memerintah Terengganu di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Al-Marhum dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah TDM iaitu sebuah anak syarikat milik Kerajaan Negeri Terengganu.

Sempena lawatan ziarah itu, Ustazah Nuridah telah menyerahkan sumbangan bagi pihak Muslimat PAS Malaysia, manakala Fauzi mewakili PAS Wilayah Persekutuan. – HARAKAHDAILY 1/12/2020

- Advertisement -