Bila sungai jadi tempat buang sampah

- Advertisement -

IPOH: Peti ais antara puluhan tan sampah sarap yang ditemukan di dalam sungai di sekitar kawasan Manjoi di sini semasa kerja-kerja pembersihan oleh pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada awal bulan ini. 

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata perbuatan tidak bermoral itu menyebabkan dasar sungai menjadi cetek sekali gus tidak mampu menampung kuantiti air hujan yang banyak seterusnya menyebabkan banjir kilat. 

“Pada 9 November lepas, kita adakan gotong-royong di kawasan Manjoi dan kita dapat kutip lebih kurang 48 tan sampah di dalam sungai di kawasan itu. Saya fikir kalau dua hari kita buat (gotong-royong) lebih 100 tan. Macam-macam sampah termasuk peti ais pun ada dibuang ke dalam sungai. 

- Advertisement -

“Kalau kita dapat kurangkan sampah, sungai kita boleh tampung lebih banyak air. Jadi, saya harap kerjasama daripada semua penduduk supaya jangan buang sampah ke dalam sungai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) November 2020 di sini, hari ini. 

Sabtu lepas, beberapa kawasan di Manjoi khususnya Kampung Sungai Kati dilanda banjir kilat akibat limpahan air Sungai Pari serta Sungai Kati dan terdapat longgokan sampah dibawa arus terperangkap di sekitar sungai. 
 
Rumaizi berkata MBI dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) masih melakukan kerja-kerja pembersihan sampah sarap di sungai berkenaan bagi memastikan masalah banjir kilat itu tidak berulang. 

Selain itu, katanya MBI juga dalam proses melantik juruperunding bertauliah bagi melaksanakan kajian tebatan banjir di Kawasan Industri Bercham, Kampung Sungai Rokam dan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Sri Klebang/Desa Sri Chepor dengan anggaran keluasan 10.2 kilometer persegi. 

Katanya, lokasi berkenaan dijadikan kajian berdasarkan kekerapan berlaku masalah banjir kilat dan projek itu dijangka dilaksanakan secara berperingkat bermula awal 2021. – BERNAMA

- Advertisement -