Tandas KLIA dilengkapi teknologi disinfeksi UV terkini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memperkenalkan tandas terbaharunya yang dilengkapi teknologi pembasmian kuman ultraviolet (UV) untuk mengekang penyebaran COVID-19 dan melindungi penumpang serta komuniti lapangan terbang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata tandas itu dilengkapi peranti automatik dikenali sebagai Ultraviolet Chamber (UVC) yang akan menghasilkan cahaya ultraviolet, bertujuan membunuh bakteria atau patogen berjangkit di udara.

“Pemasangan peranti UVC telah selesai dilakukan di 24 tandas dan pemasangan seterusnya akan dilaksanakan secara berperingkat dalam masa beberapa bulan ini.

- Advertisement -

“Keselamatan di lapangan terbang adalah antara kebimbangan tertinggi disuarakan dalam kalangan tetamu kami, sehubungan itu amat penting bagi kami meneroka cara-cara baharu menangani isu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata pengurangan jumlah penerbangan ketika ini membolehkan Malaysia Airport mempercepatkan proses pemasangan UVC di dalam tandas, dengan gangguan minimum terhadap operasi lapangan terbang.
 
“Tandas baharu itu memenuhi tanda aras konsep reka bentuk bertaraf dunia bagi memberikan pengalaman terbaik dan paling selamat kepada penumpang.

“Dengan kemudahan terbaharu ini, kami berharap dapat terus meningkatkan kualiti perkhidmatan, menjaga standard kebersihan yang tinggi dan meningkatkan kepuasan penumpang,” katanya.

Penambahbaikan tandas telah dikenal pasti sebagai salah satu projek misi kritikal Malaysia Airport yang telah dimulakan sejak Jun 2017 membabitkan keseluruhan 225 tandas, dan ia tetap dilaksanakan walaupun semasa langkah-langkah penjimatan ditingkatkan.

Projek itu kini berada di fasa terakhir membabitkan 94 tandas, dan ia dijangka selesai menjelang Jun 2021.

Mohd Shukrie berkata daripada 94 tandas itu, 22 daripadanya telah siap diubah suai dan akan dibuka kepada orang ramai bulan depan.

Baru-baru ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) telah memenangi tempat utama kategori ‘Perhentian Pengangkutan Awam’ dalam Pertandingan Tandas Awam Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sempena Hari Tandas Sedunia 2020.

Pencapaian hebat itu disusuli dengan kejayaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu memperoleh tempat pertama dalam Pertandingan Tandas Awam Bersih Kelantan yang dianjurkan sempena sambutan Hari Kelantanku Bersih 2020, baru-baru ini. – BERNAMA

- Advertisement -