Melaka negeri kelapan bakal tubuh YADIM

- Advertisement -


ALOR GAJAH: Melaka bakal menjadi negeri kelapan menubuhkan cawangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) peringkat negeri.

Menurut Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, sebaik mendapat signal daripada kerajaan negeri, pihaknya lantas menyusun program di Kampung Panchor, Melaka.

Dalam masa sama katanya untuk menyelesaikan proses penubuhan YADIM.

Katanya lagi, dengan penubuhan YADIM di Negeri Melaka, ia akan merancakkan lagi kerja-kerja dakwah dan kebajikan di negeri itu.

- Advertisement -

“Hari ini adalah merupakan satu kunjungan rasmi daripada pejabat YADIM.

“Selain daripada mengisi program Musaadah, kita juga akan menyelesaikan proses untuk penubuhan YADIM.

“Saya percaya dengan penubuhan YADIM di Negeri Melaka ini ia akan merancakkan lagi kerja-kerja dakwah dan kebajikan di negeri ini,” ujar beliau.

Jelasnya, pada tiga minggu lalu YADIM telah ditubuhkan di Pahang selain enam buah negeri lagi yang sudah lama menubuhkannya iaitu Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak, Kedah dan Johor.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program Musaadah YADIM Negeri Melaka sempena Bulan Dakwah YADIM 2020 yang berlangsung di Masjid Ar-Rahmah, Kampung Panchor, Durian Tunggal, di sini, semalam.

Sementara itu Penasihat Agama Ketua Menteri Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek mengalu-alukan hasrat YADIM untuk membuka cawangan dan pejabat di Melaka.

“Kita mengharapkan perkara ini (penubuhan YADIM Melaka) akan berlaku secara realitinya dan lebih banyak kerjasama yang akan kita lakukan antara Kerajaan Negeri Melaka dengan pihak YADIM,” ujar beliau.

Dalam majlis yang sama Ustaz Nasrudin turut menyerahkan pek bantuan kepada wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi rakan strategik YADIM.

Antara NGO yang hadir ialah Gerakan Rakyat, diwakili Prof Madya Dr Azman Yusof, Gerakan Islam Melayu Melaka, diwakili Syafiq Afandi, Kelab Rekreasi Akhlak Sejahtera, diwakili Mohd Faisal Abdullah, Rakan Permotoran Melaka, diwakili Mohd Faisal Abdullah, Angkatan Wanita Istiqamah, diwakili Rosila Alwi dan Pertubuhan Ar-Riqab, diwakili Nor Aznil Azim.

Program yang dijalankan seharian turut melibatkan beberapa pertemuan antara YADIM dengan beberapa orang pimpinan dan agensi Kerajaan Negeri Melaka.

Di sebelah petang pula turut dijalankan program edaran bantuan Musaadah YADIM melibatkan sepuluh buah rumah di DUN Serkam dengan kehadiran wakil rakyatnya, Datuk Zaidi Attan. – HARAKAHDAILY 26/11/2020

- Advertisement -