Ahli Parlimen digesa sokong Belanjawan 2021 – Fadhli Shaari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengundian bagi meluluskan Belanjawan 2021 pada peringkat dasar menjadi tumpuan Dewan Rakyat yang dijadualkan selepas sesi penggulungan oleh Kementerian Kewangan, hari ini.

Berikutan itu, ahli Parlimen Pasir Mas Ustaz Ahmad Fadhli Shaari merayu supaya semua ahli Parlimen sama ada barisan penyokong kerajaan serta pembangkang dapat menyokong Belanjawan 2021 ini.

- Advertisement -

Katanya, sebarang penolakan kepada belanjawan ini akan memberikan implikasi yang besar dan tidak sesuai dalam situasi negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Saya merayu kepada semua ahli Parlimen supaya lebih memikirkan kepentingan rakyat daripada kepentingan politik semata, dengan menyokong belanjawan yang akan diundi pada hari ini.

“Sebarang penolakan akan memberi implikasi perundangan yang agak panjang dan ia sangat tidak sesuai dalam keadaan sekarang ini berhadapan dengan situasi Covid-19,” katanya kepada Harakahdaily.

Ustaz Ahmad Fadhli tidak menafikan terdapat kelemahan dalam belanjawan itu, namun masih terdapat banyak inisiatif yang telah disediakan oleh kerajaan demi kepentingan rakyat.

“Kita akui bahawa (Belanjawan 2021) sudah tentunya ada kelemahan-kelemahan yang boleh diperbaiki.

“Kelemahan itu sangat kecil sekiranya hendak dibandingkan dengan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan yang begitu banyak dalam belanjawan ini.

“Saya kira bahawa, pada kali ini marilah kita (ahli Parlimen) sama-sama bersatu hati untuk menyokong belanjawan ini demi kepentingan rakyat,” jelasnya lagi.

Belanjawan 2021 adalah belanjawan pertama Kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat pada 1 Mac lalu.

Sebanyak RM322.5 bilion diperuntukkan di bawah belanjawan berkenaan untuk perbelanjaan negara tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 26/11/2020

- Advertisement -