DPPM rayu semua MP sokong Belanjawan 2021

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesepakatan dan kemuafakatan semua ahli Parlimen amat diperlukan bagi memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembekalan 2021 dapat diluluskan demi rakyat dan pembangunan negara.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata Belanjawan 2021 sangat penting kepada rakyat dan pembangunan negara bagi menghadapi krisis pandemik Covid-19 yang begitu kritikal dalam sejarah dunia.

- Advertisement -

“Sekiranya akta (RUU) ini tidak mencapai kata sepakat, maka negara dan rakyat akan semakin tertekan dalam berhadapan dengan kesan pandemik Covid-19.

“Pindaan yang dipohon dalam perbahasan ahli Parlimen perlu diteliti oleh pihak kerajaan agar belanjawan negara benar-benar memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Khairil Nizam, perpaduan akan tercapai sekiranya semua pihak berjiwa besar dan bertolak ansur menerima perubahan demi kepentingan rakyat dan negara.

Dalam pada itu, beliau merayu kepada semua ahli Parlimen agar menyokong Belanjawan 2021 yang dijadualkan pengundiannya petang ini selepas penggulungan Menteri Kewangan.

“Kami (DPPM) merayu kepada kesemua ahli Parlimen agar Belanjawan 2021 dapat diluluskan supaya kita sama-sama dapat memacu bersama untuk berhadapan dengan krisis ini dan meletakkan rakyat sebagai keutamaan, bukannya sengketa politik yang tidak berkesudahan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 26/11/2020

- Advertisement -