ATM pertingkat kawalan sempadan negara

SUSULAN insiden seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, maut ditembak dan seorang lagi mengalami kecederaan parah; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM menegaskan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini sentiasa meningkatkan kawalan persempadanan daratan yang turut melibatkan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

ATM memandang serius terhadap insiden yang berlaku dan mengingatkan setiap lapisan peringkat kepimpinan serta anggota yang terlibat dalam operasi kawalan persempadanan untuk terus berwaspada dan meningkatkan aspek kesiagaan operasi terutama di lokasi panas yang dikenalpasti sebagai laluan atau lorong tikus. 

Advertisement

Laluan atau lorong ini merupakan tumpuan aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan serta perlu diberi perhatian atas faktor ancaman yang bukan sahaja mengganggu-gugat kedaulatan negara malah risiko tindakan penjenayah yang boleh memberi ancaman keselamatan kepada anggota ATM yang bertugas. Mereka yang terlibat dalam jenayah rentas sempadan dan penyeludupan ini juga boleh bertindak di luar batasan untuk melepaskan diri dari ditahan. Mereka juga tidak bersendirian dan berkemungkinan bernaung di bawah sindiket-sindiket tertentu yang menjurus kepada aktiviti jenayah berat dan bersenjata.

Aspek peningkatan keselamatan dalam operasi kawalan persempadanan bukan sahaja tertumpu kepada daratan malah turut melibatkan persempadanan maritim negara termasuk Sabah dan Sarawak. Adalah juga menjadi keutamaan ATM sebagai agensi peneraju National Task Force (NTF) bersama PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain untuk terus memperkasakan kawalan persempadanan negara melalui pelaksanaan Op Benteng dalam mengekang sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan terutama melibatkan pencerobohan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Tidak dinafikan bahawa, jenayah rentas sempadan serta aktiviti penyeludupan tidak pernah berhenti tambahan dengan situasi semasa negara dan dunia menghadapi penularan wabak pandemik COVID-19. Namun, apa jua cabaran, ATM sentiasa berusaha memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan melalui kekerapan rondaan di samping penggunaan aset seperti dron bagi mengesan sebarang pergerakan di sempadan negara.

Kesiagaan dari segi aset dan kebersediaan warga ATM sentiasa berada di tahap yang tertinggi dalam melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan agar dapat membendung sebarang anasir asing yang cuba mengganggu gugat keamanan dan kedaulatan negara.

Umum juga mengetahui, aktiviti jenayah rentas sempadan, termasuk aktiviti penyeludupan ini turut didalangi bukan sahaja oleh penduduk setempat malah penduduk setempat di negara jiran. Justeru, masyarakat harus tampil kehadapan serta turut menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan. Sebarang maklumat aktiviti jenayah rentas sempadan boleh menghubungi hotline Pusat Operasi NTF di talian 011-62511223

“ATM Sentiasa Bersepadu”
“Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama”

ANGKATAN TENTERA MALAYSIA – HARAKAHDAILY 26/11/2020