RM1 bilion dimanfaatkan bagi kesejahteraan WP

Foto ZUBAIR YUSOFF
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peruntukan Belanjawan 2021 berjumlah RM1 bilion yang dikhususkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan akan ditumpukan kepada kesejahteraan dan peningkatan pelbagai prasarana bandar tersebut.

Menterinya, Tan Sri Dato’ Seri Panglima Annuar Musa berkata, walau bagaimanapun bajet tersebut tidak termasuk dengan peruntukan luar yang dikhususkan daripada penguasa tempatan terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Belanjawan daripada dana gabungan (consolidated fund) oleh Kementerian Kewangan bernilai RM1 bilion tetapi kita ada bajet di luar daripada penguasa-penguasa tempatan hampir RM3 bilion.

- Advertisement -

“Jadi, bajet dari luar Belanjawan 2021 adalah lebih besar daripada bajet yang dibentangkan,” ujarnya dalam wawancara Bicara Harakah siri ke-7 bertajuk Bajet 2021: Hala Tuju Malaysia di Bawah Perikatan Nasional.

Siri Bicara Harakah yang bersiaran selama sejam dipancarkan sebentar tadi di Facebook Harakahdaily, Youtube Harakah TV dan Hijau FM.

Turut bersamanya adalah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim dan Penolong Setiausaha 2 DPPNS, Hezry Yasin selaku moderator.

Jelas Annuar lagi, konteks bajet tahun ini tertumpu kepada kelangsungan pembangunan yang berkaitan dengan sistem pembetungan, keindahan dan pembangunan tanah di wilayah itu.

Menurutnya, proses pembangunan dan kemajuan di Kuala Lumpur tidak akan bergantung sepenuhnya kepada bajet kerajaan secara langsung kerana pengurusan pembiayaan akan dibiayai oleh sektor swasta yang lebih besar jumlahnya.

Dalam pada itu kata Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh, kementeriannya sedang giat menjalankan projek berkaitan Perkampungan Al-Quran.

Projek berkenaan merupakan salah satu usaha untuk meninggikan lagi syiar Islam dan meletakkan negara dalam peta dunia dengan penyebaran dakwah serta meingkatkan kedudukan maruah dan martabat Islam.

“Selain daripada itu, terdapat juga pelbagai program berkaitan dengan soal perumahan, kebajikan warga kota, kemiskinan bandar, keusahawanan dalam bandar dan sebagainya,” kata Annuar.

Ujarnya lagi berkaitan pengurusan Bajet 2021, kreativiti dalam menguruskannya amat penting supaya dapat dilaksanakan dan memberikan impak positif terhadap pembangunan di Wilayah Persekutuan. – HARAKAHDAILY 25/11/2020

- Advertisement -