Perjuangan 20 tahun tuntut kediaman ganti berjaya

Penduduk perkampungan Melayu Kampung Tanjong Tokong dan Kampung Mutiara bakal terima unit pangsapuri

- Advertisement -

BUKIT BENDERA: Setelah hampir 20 tahun menanti, para penduduk Kampung Tanjong Tokong yang tanah mereka diambil untuk pembangunan, akhirnya menerima kediaman ganti ditawarkan pihak UDA Holdings Berhad.

- Advertisement -

Proses menandatangani surat serahan unit kepada penduduk oleh pihak UDA Holdings Berhad selaku pemaju telah diadakan di Pangsapuri Warisan Tanjung, di sini sejak kelmarin dan giliran terakhir hari ini.

Yang DiPertua PAS Kawasan Bukit Bendera, Abdul Halim Salleh yang turut hadir memantau urusan tersebut sempat mengimbau kembali usaha pihaknya dalam menyelesaikan isu tersebut di mana melibatkan banyak masa, tenaga dan rujukan.

Malah, peranan itu turut dijayakan dengan intervensi daripada Lajnah Tanah, Perumahan dan Orang Asal PAS Negeri Pulau Pinang dan Pusat dalam membantu penyelesaian teknikal hingga proses memperolehi hak itu berjalan lancar.

Pengerusi Persatuan Suara Penduduk Kampung Tanjong Tokong (PSPKT), Musannif Zainal Abidin pula berkata, kejayaan itu adalah sebahagian dari kesabaran oleh penduduk menanti selama hampir 20 tahun.

“Proses ini ada dua kategori. Pertama pemilik status TOL diganti unit berkeluasan 850 kaki persegi telah dibina 210 unit. Untuk kategori kelamin, rumah tanpa nombor dan penyewa diganti unit rumah 800 kaki persegi telah dibina sebanyak 340 unit.

“Pihak UDA akan membina lagi 650 unit difasa 4C setelah penghuni dalam kategori TOL dipindahkan dalam projek 4A dan lain-lain kategori dalam kampung akan ditempatkan di Selasih Court sebagai transit.

“Secara purata jumlah rumah kampung berstatus TOL ada 200 unit dan rumah tanpa nombor sebanyak 50 unit. Nisbah secara purata 1 unit rumah kampung diganti 4 ke 5 unit rumah Pangsapuri Warisan Tanjung di Fasa 4A dan 4C,” terangnya.

Difahamkan bahawa unit 3 bilik tidur, 2 bilik air dengan keluasan kira-kira 800 dan 850 kaki persegi ini dianggarkan bernilai kira-kira RM 300,000 seunit dengan setiap unit juga turut disediakan tempat letak kereta bernombor mengikut pintu unit.

Turut disediakan ialah sebanyak dua gelanggang futsal di tingkat atas tempat letak kereta bertingkat dan tempat bermain kanak-kanak bagi kegunaan riadah penduduk setempat.

Dalam perkembangan lain, PAS Bukit Bendera bersama Lajnah Tanah PAS Pusat dan Negeri juga berjaya menyelesaikan isu perkampungan Melayu yang juga berlarutan hampir 20 tahun iaitu Kampung Mutiara, Batu Feringghi.

“Alhamdulillah dengan tindakan proaktif PAS Bukit Bendera isu ini kini hampir ke penghujungnya. Kini para penduduk dipindahkan di Tanjung Tokong sementara menunggu pakej rumah gantian di Batu Feringghi yang sedang dalam proses pembangunan semula.

“Kami melihat kejayaan ini sebagai satu lagi batu loncatan buat PAS dalam membina hubungan dengan masyarakat di DUN Tanjung Bunga khususnya dan secara amnya di Parlimen Bukit Bendera,” ujar Abdul Halim. – HARAKAHDAILY 26/11/2020

- Advertisement -