Utamakan anak negeri isi kekosongan KKM di Sarawak

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memberi keutamaan kepada anak kelahiran Sarawak untuk mengisi kekosongan jawatan di fasiliti kesihatan di negeri itu.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sebagai contoh, kesemua 74 pegawai kelahiran Sarawak daripada keseluruhan 94 pegawai kohort bagi 2017 telah dilantik secara tetap dan ditempatkan di negeri itu pada April 2020.

“Kerajaan sepertimana ketetapan Akta Perubatan 1971 hanya mempunyai obligasi untuk menyediakan penempatan bagi latihan siswazah atau khidmat wajib, manakala lantikan kontrak dibuat bagi membolehkan mahasiswa diberi penempatan untuk tujuan pendedahan pengalaman menerusi latihan siswazah dan khidmat wajib tanpa tertakluk kepada perjawatan tetap.

“Namun begitu, tertakluk kepada faktor kekosongan jawatan, pertimbangan pelantikan tetap dibuat secara berasingan dari semasa ke semasa, mengambil kira pegawai memenuhi syarat pelantikan dan merit yang ditetapkan serta diperakukan oleh Jawatankuasa Penilaian untuk dilantik tetap,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Advertisement

Dr Adham berkata demikian bagi menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) yang ingin tahu sama ada KKM memberi keutamaan kepada pegawai perubatan berasal dari Sarawak untuk mengisi kekosongan jawatan dan status terbaharu bagi tawaran pelantikan secara kontrak.
 
Mengenai status terbaharu pelantikan kontrak, Dr Adham berkata kerajaan pada September 2020 bersetuju meluluskan penyambungan kontrak secara one-off selama enam bulan lagi bagi 79 Pegawai Perubatan. 

Katanya, kelulusan itu adalah tambahan kepada kontrak enam bulan sedia ada yang diberikan sebelum ini bagi menyokong usaha KKM memastikan kesinambungan perkhidmatan serta membantu membendung penularan wabak COVID-19.   

“Penyambungan kontrak secara one-off ini mencerminkan keprihatinan kerajaan bagi membolehkan pegawai meneruskan penyampaian perkhidmatan serta masih mempunyai pekerjaan dalam situasi ekonomi yang mencabar pada masa ini selain mengambil kira faktor keupayaan kewangan kerajaan,” katanya. 

Dalam pada itu, Dr Adham berkata kerajaan sedang melaksanakan pendekatan ‘right-sizing’ melalui penyusunan semula perjawatan dari semasa ke semasa berdasarkan kepada keperluan perkhidmatan.

Selain itu, kerajaan telah mewujudkan 10,675 jawatan tambahan di KKM secara berfasa bagi menampung keperluan di fasiliti baharu dan sedang dinaik taraf yang belum dapat beroperasi sepenuhnya. – BERNAMA