Serangan di sempadan, anggota PGA terkorban

- Advertisement -

SAYA telah dimaklumkan bahawa satu kejadian berbalas tembakan antara anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kumpulan penyeludup telah berlaku pada 24 November 2020, pukul 3:00 pagi di Tembok Sempadan (TS9), Padang Besar, Perlis.

Siasatan awal mendapati kejadian ini bermula apabila dua anggota PGA sedang melakukan tugasan risikan di kawasan kejadian telah diserang oleh dua kumpulan, disyaki terdiri daripada warga tempatan dan warga asing yang sedang menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan di sempadan.

Dukacita dimaklumkan salah seorang anggota PGA, Kpl. Baharuddin Bin Ramli telah terkorban dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup. Manakala rakan setugas mangsa, Kpl. Norihan A/L Tari cedera parah dan kini sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

- Advertisement -

Saya dan seluruh warga Kementerian Dalam Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian serangan tersebut.

Polis Diraja Malaysia telah diarahkan untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh bagi mengenal pasti kumpulan penjenayah yang melakukan serangan tersebut. Kerajaan amat memandang serius terhadap kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama kumpulan penyeludup yang melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan.

DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDIN
Menteri
Kementerian Dalam Negeri 
24 November 2020 – HARAKAHDAILY 24/11/2020

- Advertisement -