Mana peranan pasukan khas Covid-19 Negeri Selangor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi tidak melihat peranan yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pasukan Khas yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi memantau, mengawasi dan memberi pendidikan kepada rakyat berhubung pandemik Covid-19.

Kerajaan negeri telah mewujudkan satu jawatankuasa pasukan khas Covid-19 yang diketuai oleh mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan dibantu empat individu profesional yang pernah bekerja dengannya ketika di Kementerian Kesihatan.

- Advertisement -

Namun kata beliau, setakat ini tidak lihat usaha ke arah pemantauan dan pendidikan, bukan sahaja kepada masyarakat tempatan tetapi juga terhadap warga asing yang bekerja di negeri Selangor.

“Kalau kita lihat tempat tinggal mereka, risiko untuk keboleh jangkitan di kalangan mereka amat tinggi.

“Di kawasan Sijangkang Pasaraya Segi terpaksa ditutup dua minggu kerana jangkitan yang berlaku di kalangan pekerja warga asing di situ,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang menekankan soal tindakan mengawal dan penguatkuasaan yang juga memerlukan peruntukan dalam bajet kali ini dan jawatan kuasa Covid-19 ini harus ada perancangan secara tuntas ke arah itu.

Katanya, walaupun tanggungjawab utama adalah terletak kepada Kerajaan Pusat, tetapi Selangor sebagai sebuah negeri maju yang juga bergantung kepada sektor industri harus memainkan peranan yang besar dalam menguruskan negeri ini.

Beliau menegaskan perebakan yang tidak dapat dikawal secara tuntas akan memberi kesan kepada ekonomi dan rakyat negeri Selangor.

“Walaupun mungkin keperluan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau lockdown masih boleh ditangguhkan tetapi tindakan seperti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) harus diambil segera bagi mengelak keadaan yang lebih serius,” tegasnya.

Ketika sidang Dewan Negeri Selangor, beliau telah tekankan soal pendidikan masyarakat berhubung penularan Covid-19 dan soalan itu dijawab oleh Exco Kesihatan dan akan diambil tanggungjawab oleh Exco Pendidikan.

“Saya telah membangkitkan dalam sidang dewan supaya ada satu jumlah peruntukan yang wajar dipertimbangkan oleh kerajaan negeri khusus bagi menangani wabak pandemik Covid-19.

“Ini kerana tidak ada peruntukan khusus yang munasabah dalam belanjawan kali ini sedangkan saya jangkakan pada tahun 2021 kita akan masih lagi bergelut dengan wabak ini,” katanya.

Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia pada 23 November, menunjukkan peningkatan tertinggi wabak Covid-19 di Selangor dengan jumlah 1,203 kes baharu (63.9 peratus) dari keseluruhan jumlah kes baharu. – HARAKAHDAILY 24/11/2020

- Advertisement -