Belanjawan Terengganu 2021 mesra anak muda

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, semalam selesai pembentangan Belanjawan Terengganu 2021 yang bertemakan Melestarikan Kesejahteraan Bersama. Pastinya belanjawan ini ditunggu-tunggu oleh semua rakyat Terengganu. 

Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (YAB. Dato’ Dr Sam) yang telah membentangkan belanjawan kali ini. 

Walaupun bertongkat akibat pembedahan lutut beberapa minggu lepas, namun, keutamaan beliau untuk kesejahteraan rakyat dilihat amat terserlah semalam. Demi rakyat walau bertongkat. 

- Advertisement -

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Dato’ Dr Sam kerana telah menerima cadangan yang telah disuarakan oleh anak muda. 

Begitu banyak sekali manfaat yang boleh diambil oleh anak muda terutamanya inisiatif latihan dan peluang pekerjaan. Sementelah pada fasa COVID-19 ini, ramai rakyat yang terjejas terutamanya yang berkaitan dengan pekerjaan. 

Kita mengharapkan peruntukkan sejumlah RM7.52 juta dengan 8 inisiatif untuk latihan kemahiran dan peluang pekerjaan dapat memberikan impak kepada anak muda Terengganu di samping peruntukkan bagi golongan usahawan serta petani yang cukup bermakna. Begitu juga bantuan COVID-19 one-off sebanyak RM200 yang melibatkan 48,500 isi rumah golongan B40.

Saya juga merasa amat gembira dengan pengumuman YAB Dato’ Dr. Sam berkenaan dua lagi manifesto yang akan dilaksanakan pada 2021, iaitu Pencen Rakyat sebanyak RM600 setahun dan juga Tabung Perumahan Rakyat Terengganu sebanyak RM50 juta. 

Ini menjadikan daripada 20 Manifesto PAS Terengganu dalam PRU-14, sebanyak 17 manifesto bersama 85 peratus telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam masa 3 tahun. Bagi kita walaupun janji itu bukan kitab suci, namun, kitab suci mengajar untuk tepati janji.

Bahkan kerajaan negeri juga telah meneruskan peruntukkan khas kepada ADUN Bukan Kerajaan sebanyak RM250 ribu bagi seorang ADUN. Inilah bukti permuafakatan antara PAS dan Umno di Terengganu. Insya-Allah, kita sama-sama perkukuhkan Muafakat Nasional dan pertahankan Perikatan Nasional (PN).

Semoga dengan belanjawan ini mampu Melestarikan Kesejahteraan Bersama dan menjadikan Terengganu Maju Berkat Sejahtera. 

MOHD NASIR ABD RAZAK
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 24/11/2020

- Advertisement -