70 tahun perjuangan PAS (24 November 2020)

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) yang ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 di Kuala Lumpur dengan nama Persatuan Ulamak Malaya adalah sebuah parti yang ditubuhkan dengan cita-cita untuk menegakkan hukum dan nilai-nilai Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. PAS ditubuhkan oleh para ulamak untuk membawa agenda politik, dakwah dan tarbiyah Islamiyah kepada umat Islam bagi membina citra baru dalam menggantikan pemikiran penjajahan yang bertapak sejak 1511.

Setelah para ulamak bersetuju menubuhkan Persatuan Ulamak Malaya pada 23 Ogos 1951, mereka memutuskan supaya persatuan ini bersidang di Seberang Perai dalam masa tiga bulan untuk meluluskan Undang-undang Tubuh (Perlembagaan) dan melantik kepemimpinan parti. Pada 12 Oktober 1951, para ulamak Pulau Pinang dan Seberang Perai yang menjadi tuan rumah telah memutuskan supaya persidangan tersebut diadakan di Kelab Melayu Bagan, Bagan Tuan Kechil (Butterworth) pada 24 November 1951 dengan dirasmikan oleh Raja Perlis.

- Advertisement -

Dalam persidangan ulamak pada 24 November 1951 ini, ketika proses meluluskan Undang-undang Tubuhnya, nama rasmi bagi Persatuan Ulamak Malaya telah ditetapkan sebagai ‘Persatuan Islam Se-Malaya’ atau ringkasnya PAS. Sejak itulah parti ini dikenali sebagai PAS. Tuan Guru Haji Ahmad Fuad bin Hassan, mudir Madrasah al-Masriyah pula telah dipilih sebagai Yang Dipertua Agung PAS yang pertama. Dengan terbentuknya Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 24 November 1951 ini, maka bermulalah langkah gagah PAS memasuki alam perjuangan menegakkan Islam.

Ketika berucap di dalam persidangan ini, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan berkata bahawa ulamak-ulamak di Malaya telah banyak berjasa kepada agama di negara ini, tetapi disebabkan oleh kerana mereka tidak bersatu, maka banyak pandangan ulamak diketepikan oleh pihak yang berkuasa dan tidak dapat mencorakkan kemajuan negara. Maka dengan perpaduan alim ulamak dan umat Islam bersama PAS, ulamak dan umat Islam disasarkan supaya dapat sama-sama bekerja demi kemajuan agama dan negara. Kata beliau, “Ulamak ibarat sampah kerana tidak bersatu.”

Maka sepanjang 69 tahun pengalamannya ini, PAS telah muncul sebagai parti dan pergerakan politik yang sangat penting di negara ini, khususnya untuk memperjuangkan tertegaknya Islam. Kedudukan PAS sebagai sebuah parti yang turut sama membentuk Kerajaan Persekutuan hari ini sebenarnya menonjolkan peranan besar gerakan Islam dalam mewujudkan perpaduan umat. PAS telah membawa tema perpaduan ummah untuk menyatukan parti-parti politik Melayu Islam bagi menghadapi musuh-musuh politik Islam yang cuba merobek kemuliaan Islam di negara ini.

Menjelang 70 tahun usia PAS, parti ini terus istiqamah memimpin umat Islam dalam menuju cita-citanya. Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah penerus legasi yang ditinggalkan oleh enam pemimpin terdahulu iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dato’ Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Prof Dato’ Seri Dr Burhanuddin al-Helmy Mohd Nor (1956-1969), Dato’ (Dr) Mohd Asri Haji Muda (1969-1982), Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi (1982-1989) dan Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor (1998-2002).

Semoga PAS akan terus memimpin ummah untuk melakukan perubahan dan bangkit menjadi khairu ummah.Selamatlah Parti Islam melangkah, membimbing ummah ke medan siasah, berpandukan al-Quran dan sunnah.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 24/11/2020

Simbol Bulan Bintang yang menjadi simbol perjuangan PAS pada peringkat awal sebelum ia diharamkan oleh Kerajaan Perikatan.
Inilah suasana Persidangan Persatuan Ulamak Malaya pada 24 November 1951. Kelihatan Ustaz Haji Ghazali Abdullah (kemudian menjadi Mufti Selangor dan Perak) sedang mempengerusikan persidangan. Terpampang ayat al-Quran yang memerintahkan supaya orang beriman yang berselisih supaya kembali kepada Allah dan Rasul.
Pingat PAS yang dahulu disematkan di baju ahli-ahli PAS sejak 1951. Tercatat padanya perkataan “Allah” dan “Muhammad” dengan latar belakang Sang Saka Merah Putih yang menunjukkan Islam sebagai teras perjuangan Kebangsaan Melayu.
- Advertisement -