Atur rancakkan pelancongan, ekonomi Langkawi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah membayangkan untuk merancakkan kembali pelancongan di Pulau Langkawi yang sepanjang tahun ini merosot berikutan pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bertukar pandangan bersama Pengurus Negara Qatar Airways Group, Dato’ Muzammil Mohamad yang berkunjung hormat ke Wisma Darul Aman, Alor Setar, semalam.

Pertemuan tersebut membincangkan cadangan bagi membuka semula penerbangan dari Doha, Qatar ke Langkawi dalam meningkatkan semula sektor pelancongan Kedah serta peluang merancakkan ekonomi.

- Advertisement -

Dimaklumkan, antara perkara menjadi intipati pertemuan kedua tokoh ini adalah untuk mewujudkan penerbangan ‘Gelembung Perjalanan Antarabangsa’ bagi negara-negara yang mengalami sedikit kes COVID-19.

“Semua pelancong ini perlu menjalankan saringan kesihatan dan dengan memperketatkan SOP yang ditetapkan di mana sekiranya disahkan negatif, barulah mereka akan mendaftar di hotel-hotel yang terpilih sahaja.

“Aktiviti-aktiviti pelancongan di Langkawi hendaklah dilaksanakan secara khusus untuk pelancong (antarabangsa) ini sahaja, tanpa bercampur dengan pelancong tempatan,” ujar Dato’ Muzammil.

Beliau juga memahami bahawa ketika ini penduduk Langkawi banyak terkesan dengan pandemik COVID-19 disebabkan industri pelancongan yang banyak terhenti sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Di pulau pelancongan tersebut sahaja terdapat sekitar 110,000 orang yang terlibat secara langsung dengan industri pelancongan. – HARAKAHDAILY 23/11/2020

- Advertisement -