Sungai Muda dicemari, empat tertuduh dihadap dakwaan

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Empat pekerja kontrak warganegara Indonesia dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan pencemaran air Sungai Muda pada 12 November lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh iaitu Dedi Hardianto, 32, Bestian, 38, Andika Safutra, 32, dan Ade Pitria, 33, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azman Abu Hassan kerana mereka tidak memahami pertuduhan itu.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi memanggil jurubahasa membaca pertuduhan berkenaan dalam bahasa Indonesia untuk memastikan tertuduh memahami dengan jelas pertuduhan ke atas mereka.

- Advertisement -

Mengikut pertuduhan, mereka dituduh bersama-sama dengan sengaja menyebabkan pencemaran air Sungai Muda akibat minyak diesel sekali gus mencemarkan muka sauk di tiga loji rawatan air iaitu Jeniang Baru, Jeniang Lama dan Sungai Pau, Gurun.

Keempat-empat tertuduh didakwa berbuat demikian di KM17, Jalan Kalai Gajah Putih di Sik pada 3.55 petang, 12 November dan dituduh mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun atau didenda atau kedua-duanya.
 
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin rakyat tempatan.

Selain itu, mahkamah memberikan syarat tambahan iaitu pasport dan permit kerja keempat-empat tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah serta melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Sik bagi setiap 23 hari bulan setiap bulan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azrul Abdul Rahman manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

- Advertisement -