Remaja pasangan kekasih licik menipu koperasi emas

KUANTAN: Polis menahan sepasang kekasih remaja yang melakukan penipuan dalam urusan pembelian barang kemas secara dalam talian dengan memalsukan slip transaksi pemindahan wang hingga menyebabkan sebuah koperasi perniagaan emas kerugian RM98,921.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata suspek lelaki berusia 18 tahun ditahan pada jam 11:45 malam tadi di sebuah rumah di Dungun, Terengganu yang seterusnya membawa kepada penahanan pasangannya, suspek wanita, 19, di rumah lain di daerah sama. 

Advertisement

“Suspek lelaki dipercayai mengedit slip transaksi bank dengan menggunakan aplikasi PDF sebelum menghantarnya (melalui WhatsApp) kepada ejen koperasi yang menguruskan penjualan barang kemas itu kononnya sebagai bukti telah membuat bayaran. 

“Suspek wanita pula difahamkan berperanan sebagai penerima kepada barangan kemas itu yang dihantar menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Mohd Wazir berkata suspek lelaki juga dipercayai menggunakan salinan kad pengenalan beberapa wanita semasa berurusan dengan ejen berkenaan, yang diperoleh daripada simpanan bapanya yang merupakan ejen syarikat pelaburan, tanpa pengetahuan lelaki berkenaan. 
 
Suspek dipercayai melakukan penipuan itu antara 30 Oktober hingga 11 November sebelum kegiatannya disedari bendahari koperasi tersebut semasa membuat semakan akaun di bank pada 16 November lepas dan mendapati tiada wang bayaran dikreditkan. 

Selain Pahang, suspek juga dipercayai melakukan penipuan serupa melibatkan kedai emas di Bandar Baru Bangi, Selangor dan Jitra, Kedah. 

“Kita juga percaya suspek lelaki pernah menyewa kereta untuk ke Kuantan bagi mengambil barang kemas daripada ejen koperasi itu dengan menyamar sebagai wanita bertudung dan memakai pelitup muka bagi menyembunyikan identitinya,” katanya. 

Resit sewaan kereta itu antara barangan yang dirampas di rumah suspek lelaki di Kemaman, Terengganu bersama 13 resit pembelian barangan kemas, slip transaksi pemindahan wang dalam talian (tujuh keping), seunit penimbang emas, sebuah komputer riba dan pencetak, empat telefon pintar serta wang tunai RM1,150. 

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA