Musibah November, banjir kelima di Kubu Gajah

LARUT: DUN Kubu Gajah sekali lagi dikejutkan dengan banjir besar yang melanda sebahagian besar kawasannya setelah kurang sepuluh hari keadaan sama berlaku di Kampung Pantai Besar dan Kampung Sungai Ara, di sini.

Advertisement

Terkini, beberapa kawasan turut disahkan terjejas akibat banjir yang berlaku antaranya FELDA Ijok, Kampung Teras, Kampung Masjid, Kampung Bendang Luas, Kampung Bagan Baharu, Sungai Lempong dan Tebing Tinggi.

Berikutan itu tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Masjid Toh Paduka Pekan Ijok, Dewan Semai Bakti FELDA Ijok dan Dewan Orang Ramai Sungai Segar, manakala sebahagian mangsa memilih kekal di rumah masing-masing.

“Aliran air yang deras dan tinggi menaiki jalan utama di Sungai Lempong, Bendang Luas dan Bagan Baharu mengganggu misi bantuan daripada agensi untuk sampai ke kawasan banjir,” ujar ADUN Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahaya.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri menyeru semua mangsa banjir agar dapat mendaftarkan diri kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memudahkan saluran bantuan disampaikan.

Menurut beliau, banjir kali ini merupakan kali kelima berturut-turut di dalam bulan November di mana kira-kira 100 rumah telah didaftarkan terlibat dan jumlah semakin meningkat berikutan beberapa kawasan masih di naiki air.

Antara dimaklumkannya sedang mengalami situasi tersebut adalah kediaman di sekitar Kampung Sungai Malau Luar dan Kampung Tebing Tinggi.

Penghulu Mukim Selama, Mohd Haffizi Abdul Hamid berkata, air dari Sungai Ijok dan Sungai Teras mula sampai ke kawasan Tebing Tinggi seawal 6:00 pagi dan menyebabkan sebanyak 20 keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Tebing Tinggi. – HARAKAHDAILY 22/11/2020