Perodua membawa nilai ‘We Go Beyond-People’

- Advertisement -

PERODUA Sdn Bhd, sebuah syarikat kereta terkenal tanah air baru-baru ini berjaya mengeluarkan satu tagline beserta video komersial yang memberi mesej cukup mendalam. “We Go Beyond-People”. Ringkas, tapi padat dengan nilai-nilai kemanusiaan terutama buat mereka yang bergelar pekerja di saat kegawatan ekonomi, tekanan perasaan dan kesungguhan mencari rezeki. Video yang berdurasi 1 minit 32 saat ini memaparkan mesej kepada majikan dan pekerja dalam memberi erti kepada tempat kerja mahupun pekerjaan itu sendiri.

- Advertisement -

Apa maknanya tempat kerja bagi anda? Persoalan pertama ditujukan buat penonton pada awal scene video tersebut cukup membuatkan kita tertanya sendiri. Adakah sekadar tempat menunggu gaji akhir bulan? Atau nilainya lebih daripada sejumlah wang ringgit. Tempat kerja sepatutnya menjadi tempat di mana suatu kerjaya itu terbina. Persediaan, perjalanan dan penambahbaikan seseorang individu dalam lapangan kerja dan kehidupan; merupakan definisi sebenar sebuah kerjaya.

Perodua juga cuba memberi mesej kepada masyarakat bahawa tempat kerja mereka dapat memberi ketenangan minda kepada setiap insan yang bekerja di situ. Sebagai contoh, pekerja yang mempunyai anak kecil tidak perlu bimbang kerana Perodua Child Development Centre (PCDC) sudah tersedia untuk anak mereka dan berdekatan pula dengan pejabat. Mencari ketenangan di tempat kerja itu bukanlah mudah, ia memerlukan campuran formula kecekalan hati, dalam masa yang sama kebajikan pekerja itu terlebih dahulu perlu diambil kira.

Self-belonging seorang pekerja kepada syarikat mahupun organisasi akan terbentuk sekiranya wujud satu suasana kerja yang seronok. Lebih baik juga sekiranya majikan mahupun pekerja menghargai setiap detik yang tercipta di tempat kerja dengan menyediakan kemudahan yang kondusif, makanan percuma, tempat beribadah yang selesa dan sebagainya. Pada tahun 2017, Perodua telah berjaya mewujudkan sebuah masjid khas untuk pekerja mereka, sekali gus menjadi masjid pertama yang dibina oleh syarikat korporat di daerah Hulu Selangor. Satu nilai dan pencapaian yang cukup baik untuk dijadikan contoh kepada syarikat lain.

Selain itu, Perodua ada menyediakan pusat latihan kemahiran, bukan sahaja dapat membina skills pekerja dalam bidang kepakaran, tetapi pekerja juga dapat mencabar kebolehan diri dan mengasah bakat yang terpendam. Pekerja juga diberi ruang dan peluang untuk membina keyakinan dengan menatijahkan idea sendiri kepada realiti dalam membina kejayaan seseorang insan. Seperti seruan setiap kali sebelum solat 5 waktu, “Haiya ‘alal falah” , “Marilah menuju kejayaan!”.

Sesuai juga dengan fitrah manusiawi yang sukakan penghormatan, hadiah dan pujian, babak seorang pekerja selesai membuat pembentangan di satu dewan lalu diberi penghargaan dan tepukan gemuruh dari ketua dan pekerja yang lain meratifikasikan fitrah ini. Satu lagi babak menarik apabila Perodua melaksanakan kelas kemahiran bahasa asing membuktikan minat dan peningkatan soft-skill pekerja menjadi antara perhatian Perodua.

Perodua Sdn Bhd mula bertapak di Malaysia pada tahun 1993 merupakan syarikat kenderaan Energy-Efficient Vehicle (EEV) terbesar pertama di negara yang telah berjaya menjual 3.2 billion kenderaan pada akhir tahun 2018. Pencapaian itu pastinya meningkat sehingga kini dan semestinya kejayaan ini datangnya dari komitmen para pekerja. Jika dilihat kepada kesungguhan Perodua menjaga kebajikan pekerja di samping memberi ruang dan peluang untuk mencabar kebolehan diri, tidak hairanlah mereka kini telah mempunyai 10,500 pekerja tetap dan hampir 50,000 pembekal dan peniaga secara official.

Melihat kepada bilangan ini, ia jelas membuktikan bahawa masyarakat telah memberi kepercayaan dan keyakinan yang tinggi kepada syarikat ini dalam membina kerjaya masing-masing. “Siapa kami hari ini bermula dengan mengutamakan anda #WeGoBeyond”. Mesej terakhir Perodua dalam video komersial ini. Meletakkan nilai seorang pekerja ibarat sebuah keluarga adalah kunci kepada kesetiaan seorang pekerja. Walaupun nilai kekeluargaan itu tidaklah sehingga seorang pekerja itu terlalu bebas bertindak sesuka hati tanpa ada tatatertib dan disiplin dalam pekerjaan.

Polisi, Standard Operating Procedure (SOP), dan etika dalam pekerjaan di samping sifat ihsan juga turut perlu diutamakan dalam mencipta serta mencapai target, misi dan visi syarikat. Bersama profesionalisme kerja, hendaklah sentiasa dijaga dengan baik juga adalah roh dan hubungan antara semua pihak dalam organisasi juga agar terhasilnya suatu keputusan yang baik. Sepanjang bekerja, gunakan masa untuk memaknai erti sebuah pekerjaan dengan mengutip segala ilmu, nilai dan pengajaran. Belajar dan terus belajar tanpa mengenal erti penat dan jemu sehingga ke akhir hayat hidup kita. Ini kerana, suatu kerjaya mahupun tempat kerja bukanlah semata-mata hadir seawal jam 8 pagi dan pulang jam 5 petang tanpa erti apa-apa. Masuk shift petang dan balik lewat malam atau esoknya tanpa menanam benih untuk dituai hasilnya di akhirat kelak.

Semoga setiap yang bergelar seorang majikan mahupun pekerja, sentiasa dalam panduan Allah Ya Rahman dalam melakar masa depan yang diredhai. Amin.

AQILA ABD – HARAKAHDAILY 22/11/2020

- Advertisement -