MN Bentong ‘tembus langit’ santuni penduduk

- Advertisement -

“BULAT air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.” Tidak ada perkara yang mustahil bagi manusia jika mereka mahu bersatu dan berpakat. Pokok pangkal bergantung kepada niat dan usaha menyatukannya hatta di atas langit biru sekalipun

- Advertisement -

Semalam, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Ustaz Roslan Mad Esa menerima kejutan istimewa daripada Naib Ketua Umno Bahagian Bentong, Dato’ Sri Johari Harun,  menaiki helikopter ke Kampung Chemomoi bagi menjayakan satu program bersama penduduk di sana.

Ustaz Roslan dalam nada bersemangat usai program perkenalan Muafakat Nasional PAS dan Umno lewat setahun lalu pernah berkata, “Siapa mula, apa pun nama gabungan ini, di mana pun tempatnya, itu nombor dua. Apa yang penting PAS dan Umno dapat duduk semeja berbincang dan merancang strategi untuk membenam PH khususnya DAP yang merupakan ancaman kepada orang Melayu dan Islam. Kami (PAS-Umno) optimis,” katanya.

Roslan dalam satu hantaran foto dan video penuh keterujaan merasai pengalaman menaiki helikopter bersama Dato’ Sri Johari di Facebook beliau semalam turut merakam satu ucapan pendek bermaya dan bermakna, “Alhamdulillah, first time wehhh.. Terima kasih kepada YH Dato’ Sri atas perlawaan istimewa ini.”

Mengulas ‘keintiman’ hubungan antara PAS dan Umno Bentong itu, Yang Dipertua PAS Bentong, Cikgu Khairuddin Abdullah berkata, kerjasama Muafakat Nasional (MN) Bentong ini bukanlah satu perkara baharu sebaliknya telah mula dibenihkan sejak setahun lalu.

Sebelum ini, kedua-dua pihak telah merakam sejarah ‘episod satu’ siri Muafakat Nasional PAS-Umno DUN Pelangai pada majlis sambutan Aidilfitri yang diadakan pada Mei
dan menyambung ‘episod kedua’ di dalam program ‘Kacau Bubur Lambuk Asyura’ anjuran Komuniti FELDA Kemasul, Oktober 2019.

“Kami di pihak PAS amat mengalu-alukan kerjasama ini demi kelangsungan persaudaraan Muafakat Nasional PAS-Umno Bentong dan kebaikannya akan dipulangkan kembali kepada rakyat,” ulas Khairuddin. Beliau baru beberapa hari tamat tempoh kuarantin kendiri di rumah usai menyambut kepulangan anaknya dari Sabah pada minggu lepas.

Terdahulu, sebelum helikopter berlepas ke Kampung Chemomoi, Ustaz Roslan telah mengiringi Dato’ Sri Johari atau lebih mesra dengan panggilan Dato’ Jo menziarahi balu dan keluarga Allahyarham Abdul Muzir Samsuddin, Ahli Jawatankuasa PAS Bentong yang terlibat dalam kemalangan di lebuhraya berhampiran Tol Bentong lewat petang Isnin lalu.

Ketibaan Dato’ Jo itu disambut dengan semangat persaudaraan oleh Yang Dipertua PAS, Timbalan Yang Dipertua dan Ahli Jawatankuasa PAS Bentong diiringi beberapa Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Bentong.

Di dalam program bertemu warga DUN Pelangai itu, Dato’ Johari turut membuat penegasan bahawa Muafakat Nasional ini perlu diperkukuhkan dan semua pihak perlu sentiasa menjalin hubungan baik dan kukuh demi negara tercinta

Turut hadir dalam program penyerahan bantuan barang makanan Muafakat Nasional  itu adalah Naib Yang Dipertua PAS Bentong, Samsuddin Abdullah dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Bentong, Jamali Raib.

KHAULAH AL-AZWAR – HARAKAHDAILY 22/11/2020

- Advertisement -