Air Empangan Muda dilepas pada kadar selamat

- Advertisement -

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) hari ini memberi jaminan pelepasan air daripada  Empangan Muda di Sik dilaksanakan pada kadar selamat dan dipantau pegawai teknikal MADA.

Pengerusi MADA, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata sehubungan itu penduduk di kawasan sekitar tidak perlu bimbang kerana proses pelepasan air tersebut bertujuan mengurangkan takungan empangan yang meningkat akibat hujan lebat.

- Advertisement -

“Setiap masa pasukan teknikal MADA bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan pertambahan air, setakat sekarang Alhamdulillah (paras) air itu beransur baik dan kita harap cuaca akan bertambah baik dalam masa beberapa hari ini,” katanya yang ditemui pemberita pada program simulasi menghadapi banjir di bawah norma baharu oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Tasik Beris di Sik.

Semalam, tular satu klip video berkaitan limpahan air empangan yang disahkan oleh MADA dalam kenyataannya hari ini sebagai Empangan Muda. Menurut agensi itu, limpahan tersebut mengalir melalui lembangan Sungai Muda.

Menurut kenyataan itu, limpahan berkenaan bagi melepaskan air berlebihan daripada kolam takungan.
 
Hujan lebat yang melanda Kedah sejak semalam menyebabkan aliran air di Sungai Padang Terap, Kuala Nerang mencecah paras bahaya, pada ketinggian 17.12 meter, demikian menurut kenyataan itu. 

Susulan itu, MADA mengambil tindakan awal menyalurkan lebihan air melalui infrastruktur pengairan dan saliran sedia melalui sistem pengairan Lana Bulu, sistem tengah dan selatan serta melalui sistem saliran dengan pembukaan ‘Pelubang Barrage’ di Kampung Batu dan Ampang Jajar.

Menurut kenyataan itu, setakat ini takungan air di Empangan Ahning pada tahap 74.5 peratus (tidak melibatkan pelepasan air), Empangan Pedu sebanyak 86.4 peratus (tiada pelepasan air) dan empangan Muda sebanyak 111 peratus (melimpah sejak 14 November lalu). – BERNAMA

- Advertisement -