Maritim lupus 5 bot nelayan asing

- Advertisement -

KUALA PERLIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis melupus lima bot nelayan yang dilucut hak.

Selain itu turut dilupuskan tujuh bidang pukat rawa sorong dan 170 set bubu naga. Pelupusan dilakukan di Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Kuala Perlis semalam setelah mendapat perintah pemusnahan secara musnah hancur dari mahkamah.

- Advertisement -

Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing, kesemua aset yang dilupuskan bernilai lebih kurang RM39,000 merangkumi tangkapan dan rampasan membabitkan nelayan asing sepanjang tahun 2019.

Katanya, nelayan terbabit melakukan kesalahan di perairan Perlis atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Bot dilupuskan secara potong hancur oleh jengkaut sebagai mesej ketegasan agensi ini dalam menguatkuasakan undang-undang di perairan negara.

“Ia juga bagi memastikan sumber perikanan terus terpelihara daripada dijajah nelayan asing,” ujarnya pada sidang media di sini semalam. – HARAKAHDAILY 19/11/2020

- Advertisement -