Langkah awal signifikan DBKL

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) menyifatkan Garis Panduan dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras (Liquor Yang Memabukkan) yang dikemukakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merupakan langkah awal yang signifikan dan tepat pada masanya.

Pesuruhjayanya, Ustaz Azhar Yahya berkata perkara ini bagi memastikan pengawalan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti penjualan minuman keras berlaku secara terkawal demi kesejahteraan masyarakat awam khusus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

- Advertisement -

“Antara aspek positif daripada garis panduan itu adalah tidak lagi membenarkan lesen baharu terhadap penjualan mimuman keras (liquor yang memabukkan) di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina berkuat kuasa 1 Oktober 2021.

“Selain itu, penetapan had masa penjualan minuman keras, kod warna bagi minuman yang minum di kedai atau boleh dibawa pulang serta perkhidmatan ‘designated driver‘ berbentuk e-hailing kepada pemabuk bagi mengelakkan kes-kes kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Namun begitu, Azhar berkata masih terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian terutamanya penjualan bir yang masih dibenarkan di premis berkenaan selepas tempoh 1 Oktober 2021, meskipun had masa dan beberapa syarat ketat diletakkan oleh pihak DBKL.

“Hal yang demikian adalah kerana tafsiran minuman keras (liquor) dan bir yang masih tidak diselaraskan,” ujarnya.

Jelasnya, BPPWP akan terus memainkan peranan penting dalam memberikan pandangan konstruktif bagi memastikan kesejahteraaan masyarakat di Wilayah Persekutuan terus terjamin dan terpelihara.

Tambahnya, pengawalan terhadap kemusnahan yang dibawa oleh minuman keras merupakan aspek penting yang tidak boleh sesekali dipandang enteng memandangkan ia adalah punca kerosakan sosial yang berlaku sejak sekian lama. – HARAKAHDAILY 19/11/2020

- Advertisement -