LHDN terima lebih 512,000 permohonan GKP 2.0

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menerima lebih 512,000 permohonan Geran Khas Prihatin (GKP 2.0) daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang dibuka antara 1 hingga 31 Oktober lepas.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setiap permohonan akan disemak silang atau verifikasi dengan data agensi yang ditetapkan kerajaan, termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan bagi memastikan PKS mikro yang benar-benar layak menerima bantuan ini demi kelangsungan perniagaan mereka.

“Berdasarkan jangkaan awal, bilangan yang akan diluluskan jauh melebihi daripada sasaran awal yang ditetapkan iaitu 200,000 PKS mikro.

“Adalah disasarkan bahawa PKS mikro yang telah memohon untuk GKP 2.0 boleh menyemak status kelulusan mulai 27 November 2020, manakala tarikh pembayaran pula dijangka mulai 30 November 2020,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Beliau menjawab Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka) yang meminta penjelasan berkaitan jumlah permohonan dan kelulusan yang diterima untuk Geran Khas Prihatin 2.0 dan sebab-sebab utama permohonan yang tidak berjaya ditolak.

Menurut Zafrul, terdapat sebilangan permohonan yang tidak akan diluluskan GKP 2.0, antara sebab utama adalah tidak memenuhi syarat iaitu memegang lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Selain itu, tidak memenuhi kriteria PKS mikro iaitu dengan bilangan pekerja melebihi lima orang.

“Kerajaan amat prihatin akan cabaran yang dihadapi oleh PKS secara amnya, termasuk PKS mikro.

“Oleh itu, GKP 2.0 ini merupakan komitmen berterusan kerajaan untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi negara,” katanya lagi.

GKP 2.0 merupakan bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM3,000 kepada PKS mikro yang berkelayakan, dan tidak pernah menerima GKP sebelum ini, bagi meringankan beban kewangan perniagaan yang dihadapi ekoran penularan wabak Covid-19.

Di bawah GKP asal yang diumumkan sebelum ini, lebih 545,000 peniaga mikro seluruh negara telah menerima manfaatnya dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM1.63 billion. – HARAKAHDAILY 19/11/2020

- Advertisement -