Belanjawan 2021 Pahang: Manfaat untuk semua

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di atas pembentangan Belanjawan 2021 bertemakan ‘Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama’ yang sangat bermakna dan saksama untuk semua lapisan dan golongan rakyat di negeri ini.

Kami melihat belanjawan ini yang mempunyai lebihan RM5.332 juta ini sebagai satu belanjawan yang sangat seimbang dengan mengambil kira situasi semasa ekonomi global, domestik dan juga kesejahteraan semasa rakyat yang memerlukan sokongan serta suntikan bagi meneruskan kelangsungan kehidupan dalam situasi pandemik COVID-19 ini.

Bagi mewakili golongan belia, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kami di atas keprihatinan kerajaan negeri yang menyaksikan sekurang-kurang 3 peruntukan khusus untuk golongan belia negeri ini termasuklah RM10 juta untuk golongan belia memulakan perniagaan, RM470,000 untuk pembangunan belia negeri dan juga insentif on-off kepada pasangan muda yang melangsungkan perkahwinan. Pelbagai peruntukan dan insentif lain seperti Rumah PRIMA, Rumah Makmur dan Rumah Rakyat Pahang serta bantuan untuk anak-anak yang bakal memasuki tahun satu pada tahun hadapan sudah pasti akan memberi sedikit kelegaan untuk beban golongan muda di negeri ini.

- Advertisement -

Dengan jangkaan peningkatan hasil sebanyak 7.6 peratus pada tahun 2021, kami yakin Kerajaan Muafakat Nasional Negeri Pahang adalah sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh bagi terus menjaga kesejahteraan dan keharmonian rakyat negeri ini. DPPNP juga sangat menghargai kepercayaan dan pengiktirafan kerajaan negeri dengan turut melibatkan PAS sebagai salah satu komponen kerajaan negeri dengan penglibatan di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejateraan Kampung (JKKK) dan juga peruntukan terus kepada semua Ahli Dewan Negeri (ADN) PAS bagi menguruskan projek-projek kecil dalam DUN yang diwakili. Satu kepercayaan dan pengiktirafan besar buat kami yang akan kami jalankan dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

Kami mendoakan semoga kesejahteraan bumi Pahang ini terus berpanjangan di bawah pentadbiran Kerajaan Muafakat Nasional negeri ini dengan panduan dan suluhan wahyu daripada ilahi. DPPNP juga menyatakan tekad untuk terus bersama mempertahankan kerajaan ini bagi memastikan agenda perpaduan ummah terus diperkasa bagi memberi manfaat buat semua rakyat di negara ini khususnya di Negeri Pahang Darul Makmur. 

“Memimpin Negara”
“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB USTAZ MOHD ZAKHWAN AHMAD BADARDDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP)
ADN Tahan – HARAKAHDAILY 19/11/2020

- Advertisement -