PDRM dilengkapi kamera badan tahun hadapan

Foto FB PDRM
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal dilengkapi kamera badan (body worn camera) mulai tahun hadapan.

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), perolehan peralatan ini akan dilaksanakan pada tahun 2021.

- Advertisement -

Katanya, permohonan projek Body Worn Camera Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk PDRM Fasa 1 ini melibatkan cadangan perolehan sebanyak 2,168 unit kamera badan 4G.

“Kerajaan sentiasa mengambil berat berhubung tahap integriti anggota PDRM. Penggunaan body worn camera (kamera badan) dalam penugasan oleh anggota PDRM berupaya mengelakkan tuduhan dan tohmahan semasa menjalankan tugas yang akan memartabatkan reputasi anggota PDRM serta meningkatkan persepsi positif rakyat kepada PDRM,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab Oscar Ling [PH-Sibu] yang meminta KDN menjelaskan rancangan kerajaan untuk memasang kamera badan ke atas setiap anggota polis yang menjalankan tugas untuk mengelakkan salah guna kuasa dan rasuah.

Jelas KDN, kerajaan kini komited untuk melaksanakan projek kamera badan ini mengambil kira hasil positif yang dapat diperolehi bagi mengurangkan kes aduan, perbuatan salah laku dan rasuah anggota PDRM ketika menjalankan tugas di lapangan.

Selain itu, katanya ia dijangka dapat meningkatkan ketelusan dalam penyampaian perkhidmatan selain meningkatkan hubungan positif antara polis dan masyarakat. – HARAKAHDAILY 19/11/2020

- Advertisement -