Kesepaduan memimpin umat

- Advertisement -

“KITA perlukan Qiyadah yang Mufakkir. Kalau tidak mampu, gabung jalinkan keduanya. Yang berlaku hari ini, ada yang memiliki daya fikir yang baik namun dikesampingkan,” begitulah lebih kurang mafhum ucapan Ustaz Mohd Fadli Ghani.

Ulamak, Mufakkir, pendakwah dan guru

Empat golongan ini perlu bergerak secara berpadu dalam usaha membangun umat sebagaimana menurut Dr Qaradhawi. Hal ini disebutkan di dalam kitabnya Sohwah Islamiah Minal Murahaqah ilal Rushd. Mana mungkin ia dipundakkan pada satu-satu kumpulan sahaja, walhal isu umat terlalu banyak dan beragam. 

Buku ini membahaskan 10 elemen retorik yang perlu diberi perhatian untuk menuju kematangan dalam Gerakan Islam. Setiap gerakan itu akan bermula dengan fasa retorik lalu menuju kematangan.

- Advertisement -

Selain tulisan beliau yang menyebutkan perihal musuh Islam yang perlu diberi perhatian, Dr Qaradhawi juga menyinggung kelemahan umat Islam melalui Gerakan Islam yang menjadi penggerak utamanya. 

Daya fikir yang matang

Berkaitan soal berfikir, disentuh pula oleh tokoh yang sedang menyinar, Dr. Abdul Karim Bakkar dalam Kitabnya Takwin Mufakkir. Akal itu terbahagi kepada dua, akal satu ialah kemampuan berfikir secara fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua manusia. Manakala akal kedua ialah daya fikir berdasarkan ilmu pengetahuan dan pengalaman. Kerangka berfikir itu tetap berhajat kepada pengetahuan yang mencukupi dan menyeluruh. 

Buku ini ditulis bukanlah untuk sesiapa yang tamat membacanya lalu terus menjadi ahli fikir, kerana pada umumnya semua orang memang akan berfikir untuk urusan hidupnya. Tetapi hanya panduan untuk membetulkan cara fikir juga teknik berfikir yang lebih baik. 

Zaman gagasan idea

Al Farabi menyebutkan di antara perbezaan tamadun yang unggul dan tamadun jahiliah adalah pada aspek idea yang dibawa. Tamadun jahiliyah akan menumpu soal kemuliaan seseorang berdasarkan ketinggian sijil yang diperolehinya. Walhal sepatutnya kemampuan intelek diukur melalui ilmu pengetahuan secara memadai, sehingga mampu mengungkap fenomena yang berlaku di dalam masyarakat. Tamadun yang unggul dikira berdasarkan kepedulian pemimpinnya dalam membela kepentingan masyarakat atau umat zamannya dan bersedia mengambil risiko dari perjuangannya dalam memperkatakan mengenai kebenaran dan keadilan.

Dalam usaha menyedarkan umat akan pentingnya kembali kepada Islam, Syeikh Fathi Yakan menyebutkan perihal yang hampir sama. Bahawa Gerakan Islam hendaklah mengubah cara fikir dan cara pergerakannya selepas peristiwa 11 September 2001. Tidak lagi terlalu menumpu kemandirian tanzim semata-mata, bahkan mestilah mengakari permasalahan umat secara masak dan matang. 

Hikmah yang sedang ditarik

Allah sedang menguji kita hari ini, segala apa yang dibuat oleh kita serba tak menjadi dan serba tak kena. Walaupun memang disebutkan oleh Baginda S.A.W bahawa akhir zaman adalah zaman fitnah, namun persediaan menghadapinya juga disaran oleh Nabi S.A.W. 

Hanya kerana ada yang menegur dan memberi kritikan, bukan bererti mahu meruntuh atau merosak, sebagaimana yang sering memuji itu bukan pula menambah baik. Ia berbalik pada kematangan dan tujuannya. Al-Quran amat menyarankan umatnya berfikir. 

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Timbalan Rektor KUIZM – HARAKAHDAILY 18/11/2020

- Advertisement -