Intensif lindungi terumbu karang demi masa depan

- Advertisement -

SAYA menyambut baik usaha kerajaan yang telah memperuntukkan RM10 juta dalam Belanjawan 2021 bagi melaksanakan projek Integrated Island Waste Management di sekitar pulau Terengganu dan Johor. Projek ini adalah bertujuan untuk meminimumkan kesan kemusnahan terumbu karang dan hidupan marin.

Usaha ini sangat diperlukan memandangkan terumbu karang di pulau-pulau dalam Malaysia terancam disebabkan faktor-faktor seperti perubahan iklim, pencemaran dan peningkatan suhu bumi dan kandungan asid dalam air laut. Selain itu, aktiviti-aktiviti komersial seperti menangkap ikan secara berlebihan, perhotelan, tumpahan minyak, penggunaan bahan letupan untuk mengebom ikan turut menjadi punca kawasan terumbu karang mengalami kerosakan.

Pakar ekologi marin pernah menyatakan bahawa proses terumbu karang yang rosak untuk tumbuh semula dan menjadi seperti keadaan asal memerlukan tempoh sekurang-kurangnya lima hingga sepuluh tahun. Sehubungan dengan itu, usaha kerajaan dan pihak berkuasa tempatan yang telah mewartakan tempat-tempat yang dikenal pasti terumbu karang sebagai Taman Marin atau Taman Laut juga perlu diteruskan.

- Advertisement -

Pada masa yang sama, usaha-usaha seperti yang dilakukan oleh The Andaman Luxury Collection Resort dengan kerjasama Lafarge Malaysia dan Universiti Malaysia Terengganu dalam mewujudkan Modul Sistem Terumbu Tiruan (ARMS) perlu diperbanyak dan diberikan sokongan dana secukupnya oleh pihak kerajaan bagi memastikan pembangunan yang mampan dalam ekosistem hidupan marin dan terumbu karang. 

Saya berharap program dan projek yang melindungi hidupan marin dan terumbu karang dapat diteruskan secara efektif. Pemantauan terumbu karang dan kualiti air laut di Taman Marin juga perlu dilaksanakan secara bersepadu di seluruh negara demi memastikan ekosistem terumbu karang terus terpelihara. 

Sekian, terima kasih.

 “Islam Memperkukuh Perpaduan”

HAJI WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 18/11/2020

- Advertisement -