Malaysia-Uzbekistan kongsi kepakaran bidang STI

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Malaysia bakal menjalinkan kerjasama dengan Uzbekistan dan berkongsi kepakaran dalam pelbagai bidang Sains, Teknologi, Inovasi (STI).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata, pada prinsipnya pihak MOSTI bersedia untuk berkongsi kepakaran melalui agensi-agensi yang sedia ada di bawah kementeriannya.

- Advertisement -

“Saya menyatakan persetujuan secara prinsip untuk MOSTI menawarkan kepakaran kami melalui agensi-agensi di bawah MOSTI seperti Agensi Nuklear Malaysia, sains dan teknologi di dalam bidang nuklear untuk keamanan.

“Kedua, National Institute of Biotechnology Malaysia iaitu RnD di dalam bidang bioteknologi meliputi pembangunan vaksin, farmaseutikal, pemindahan teknologi melalui pembangunan modal insan pakar bioteknologi.

“Ketiga, Technology Park Malaysia iaitu pembangunan taman tema STI yang menawarkan khidmat enabler kepada syarikat startup teknologi dan keempat, MIMOS Berhad iaitu kepakaran dalam bidang Next Generation Materials, semikonduktor, mikroelektronik, rekabentuk IC, Internet of Things (IOT), Analisis Data Raya (Big Data Analytic) dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence),” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Secara Maya, Kerjasama Malaysia-Uzbekistan Bersama Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Inovatif (Ministry of Innovative Development), Uzbekistan iaitu Honorable Mr Azimjon S. Nazarov di dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi di Pejabat MOSTI, Putrajaya, hari ini.

Hadir sama pada mesyuarat maya itu, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ir. Dr Siti Hamisah Tapsir, Duta Malaysia ke Uzbekistan, TYT Hendy Assan serta pegawai-pegawai kanan MOSTI.

Menurut Ahmad Amzad, beliau memahami hasrat negara Uzbekistan itu untuk menjalinkan kerjasama dengan Malaysia dalam bidang tersebut.

“Ini saya (Amzad) kira sebagai satu pengiktirafan terhadap pencapaian Malaysia yang berada di kedudukan ke-33 Global Innovation Index.

“Moga hubungan kerjasama antara dua negara ini mendatangkan manfaat untuk kemajuan kedua-dua negara dan peningkatan kerjasama dua hala, Insya Allah,” jelasnya.

Tambah beliau, di penghujung perbincangan itu Honorable Mr Azimjon S. Nazarov turut mengundangnya datang ke Tashkent (Uzbekistan) setelah suasana wabak Covid-19 terkawal. – HARAKAHDAILY 17/11/2020

- Advertisement -