Dr Khairuddin sumbang kepada PIBG sekolah

KUALA NERUS: Agenda pembangunan pendidikan khususnya bagi anak-anak warga Kuala Nerus menjadi keutamaan kepada Ahli Parlimennya, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Sejumlah RM43,000 peruntukan diluluskan untuk diagihkan kepada beberapa buah sekolah melalui tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) masing-masing.

Advertisement

Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkenaan iaitu, Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin kepada pihak sekolah terbabit.

Katanya, agenda pembangunan pendidikan anak-anak warga Parlimen Kuala Nerus menjadi salah satu keutamaan kepada Mohd Khairuddin dan berusaha membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar.

“Alhamdulillah, kesempatan hari ini dapat bertemu dengan pihak pengurusan sekolah dan PIBG yang menjadi mendukung kuat kejayaan anak-anak pelajar.

“Kesudian pihak sekolah menjemput saya ke sekolah juga membuka peluang untuk saya mendekati mereka (pelajar) dan mendalami permasalahan yang dibangkitkan. Sebagai contoh, isu kemudahan pusat sumber yang menarik perhatian kami.

“Pusat sumber menjadi tempat rujukan para pelajar dan guru untuk menambah ilmu pengetahuan. Jadi kami luluskan dana (peruntukan) ini untuk menaiktarafkan kemudahan pusat sumber sekolah itu demi memartabatkan Terengganu sebagai pusat ilmu, lebih-lebih lagi ilmu agama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada pertemuan ringkasnya dengan persatuan PIBG dan guru-guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Dato’ Haji Abbas, Tok Jiring, Kuala Nerus, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengetua SMK (A) Dato’ Haji Abbas, Anisah A Mubin berkata, pihaknya melahirkan rasa kesyukuran atas sumbangan itu sekali gus membantu pihak sekolah meningkatkan lagi program kecemerlangan pelajar bagi tahun akan datang.

“Kerjasama wakil rakyat juga penting untuk bersama menyuntik semangat pelajar agar terus berjaya, bahkan sumbangan dana seumpama ini melancarkan lagi perancangan pihak sekolah,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata Ustaz Mohd Kamal, peruntukan tambahan juga diluluskan kepada dua buah sekolah lain iaitu SMK Kompleks Wakaf Tembesu dan Sekolah kebangsaan (SK) Kampung Gemuroh di Tepoh.

Tambah beliau, sumbangan kepada kedua-dua sekolah berkenaan bagi menaiktaraf kemudahan sekolah sekali gus memberikan keselesaan kepada warga pelajarnya. – HARAKAHDAILY 17/11/2020