Warga Kilang penuhi impian asnaf Indera Mahkota

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: NGO Warga Kilang telah mengadakan program Jalan-Jalan Masuk Kampung menyantuni warga penduduk dalam kalangan yang memerlukan di PUTRA Balok, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Program ini telah menjadi rutin NGO yang anggotanya terdiri daripada para pekerja industri dalam membantu golongan memerlukan terutama sumbangan kepada keluarga para asnaf di seluruh negara.

“Bersedekah bermula dari sekarang, tidak kira waktu kaya atau waktu miskin. Hulurlah seikhlas hati mengikut kemampuan,” ujar wakil Warga Kilang, Abdul Rahim Mamat pada majlis penuh ceria itu.

Kongsi beliau, ahli-ahli NGO itu mengamalkan sumbangan mereka secara terkumpul menerusi pengasingan khusus pendapatan gaji bulanan sebelum digunakan bagi perbelanjaan keperluan diri dan keluarga.

Kehadiran rombongan mereka membawa pelbagai jenis barangan sumbangan ini telah disambut pihak Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Indera Mahkota dan Pusat Khidmat DUN Beserah.

“Ada ketikanya kami terpaksa masuk ke rumah asnaf untuk mengetahui keperluan mereka seperti mesin basuh, peti sejuk dan dapur gas kerana ada dalam kalangan mereka yang berasa malu untuk meminta bantuan,” ujarnya lagi.

ADUN Beserah, Andansura Rabu yang hadir diawal program menzahirkan penghargaan kepada Warga Kilang kerana memilih Kawasan Indera Mahkota untuk menyampaikan sumbangan barangan tersebut.

Seorang penerima, Tengku Suhaila Raja Dollah, 40, ibu tunggal kematian suami melahirkan rasa syukur menerima bantuan berupa barangan makanan dan peti sejuk yang akan membantu kehidupan hariannya.

Turut gembira mendapat dapur memasak adalah Zulkifli Harun, 32, yang sememangnya amat berkeperluan kepada peralatan tersebut untuk keluarganya. – HARAKAHDAILY 17/11/2020

- Advertisement -