Kelantan nafi laksana PKPB

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan dan Jabatan Kesihatan negeri itu menafikan mengeluarkan persetujuan bersama menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok berikutan penularan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Dr Izani Husin berkata, penularan mesej berkenaan sejak awal pagi tadi menimbulkan keresahan rakyat di negeri itu.

Advertisement

“Mesej itu tidak benar dan orang ramai dinasihatkan berhenti berkongsi di media sosial,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mesej berupa kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh Pengarah Kesihatan Kelantan yang memaklumkan Kementerian Kesihatan bersama Majlis Keselamatan Negara bersetuju melaksanakan PKPB di Kelantan berkuatkuasa 17 November ini.

Mesej palsu berkenaan itu juga memaklumkan PKPB akan bermula jam 12 tengah malam berikutan kes Covid-19 di Kelantan semakin serius terutama di kawasan bandar. – HARAKAHDAILY 16/11/2020