Kekal sebar maklumat Covid-19, elak berita palsu

Dato' Seri Dr. Shahidan Kassim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan kekal aktif melakukan hebahan maklumat Covid-19 dengan mengedarkan risalah ke seluruh negeri dan daerah dalam usaha menangkis isu penyebaran berita palsu yang berleluasa.

Lebih sejuta risalah dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Iban dan Kadazan dicetak dan diedarkan ke seluruh negara bagi memastikan rakyat mendapat laporan berita yang sah dan terkini.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Dato’ Dr Mah Hang Soon langkah ini merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mengekang penyebaran berita palsu.

Walau bagaimanapun kata Hang Soon kerajaan akan terus mengenalpasti pendekatan paling ampuh dan mapan ke arah usaha berkenaan.

Hang Soon menjawab pertanyaan Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim [BN-Arau] di Dewan Rakyat hari ini mengenai mekanisme yang dilakukan oleh kerajaan untuk membendung masalah penyebaran berita palsu terutamanya berkaitan pandemik Covid-19 yang telah menimbulkan panik dan menggugat ketenteraman awam.

“Paparan Elektronik atau billboard, JaPen telah melaksanakan kempen melalui publisiti bercetak dan elektronik serta mendapatkan kerjasama rakan strategik melalui slot paparan elektronik (skrin digital), bermula pada awal Februari 2020 dan diteruskan sehingga kini dengan Kempen Pembudayaan Norma Baharu: Putuskan Rantaian Covid-19.

“Penerbitan risalah mengenai Covid-19 diedarkan secara berterusan melibatkan aktiviti komunikasi bersemuka di semua negeri dan daerah dalam usaha menangkis isu penyebaran berita palsu yang berleluasa.

“Sebanyak lebih 1 juta risalah dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Iban dan Kadazan telah disediakan berkaitan Covid-19,” kata Hang Soon. – HARAKAHDAILY 16/11/2020

- Advertisement -