Ekonomi Malaysia dalam Fasa Pemulihan

Gambar sekadar ilustrasi - foto fb Unit Perancang Ekonomi
- Advertisement -

PANDEMIK Covid-19 memberi kesan besar terhadap ekonomi Malaysia. Tiada siapa menduga meskipun Malaysia mencatat pertumbuhan pada jajaran 4 peratus akhirnya merudum kepada 17.1 peratus pada Suku Ke-2 2020. Dugaan besar ekonomi sejak awal tahun dikombinasikan dengan transisi peralihan kuasa kerajaan pada Februari 2020 selepas perletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dari sisi politik, penulis berpendapat kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah platform mengisi vakum sepanjang tempoh pandemik Covid-19 daripada Februari 2020 hingga Mac 2021 (lebih kurang setahun) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 berlangsung. Justeru, fokus politik hari ini tidak lain adalah untuk menyesuaikan semula Malaysia di landasan baharu.

- Advertisement -

Berbalik kepada ekonomi Malaysia, pertumbuhan Suku Ketiga menunjukkan Malaysia telah berjaya merangsang semula ekonomi. Selepas melandaikan graf kes baharu Covid-19, Kerajaan mengenakan PKPB pada 1 Mei bagi memberikan ruang kepada operasi ekonomi dalam skala lebih besar. Pengumuman pakej rangsangan ekonomi secara keseluruhan berjumlah RM305 bilion (27 peratus KDNK) dengan suntikan fiskal RM55 bilion (3.8 peratus KDNK) mula menatijahkan hasil.

Pertumbuhan -2.7 peratus pada Suku Ketiga 2020 adalah lantunan yang signifikan. Jelas, ia didukung oleh tiga faktor utama. Selain pakej rangsangan, ekonomi Malaysia bergerak dengan permintaan lebih kukuh daripada sektor luar dan kelonggaran PKP. Dalam tempoh Suku Ketiga 2020, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan tertinggi pada bulan Julai (RM25 bilion) dan disusuli pada bulan September (RM22 bilion). Keadaan ini membantu ekonomi Malaysia ke arah lebih ampuh.

Begitu juga komponen perbelanjaan dalam KDNK yang menunjukkan sektor swasta semakin menggalakkan. Perbelanjaan swasta semakin baik daripada -18.5 peratus (S2) kepada -2.1 peratus (S3) disebabkan oleh sokongan pakej rangsangan dan polisi bantuan seperti moratorium. Bagi komponen aktiviti ekonomi, sektor pembinaan juga telah berjalan semula dengan anggaran nilai berjumlah RM31 bilion, 59 peratus lebih tinggi daripada Suku Kedua 2020. Sektor perkilangan atau pembuatan terus mencatat kadar pertumbuhan lebih kukuh (3.3 peratus : S3).

Malaysia kini dalam fasa Suku Keempat. Tempoh moratorium secara blanket telah tamat. Lekuk pandemik Covid-19 menunjukkan kenaikan dalam gelombang ketiga. PKPB hampir seluruh negara. Meski sektor ekonomi banyak dilonggarkan namun risiko masih tinggi. Anggaran awal penguncupan 4.5 peratus pada tahun ini mungkin akan tersasar jika tidak disokong dengan ruang lebih baik.

Walaupun begitu, kadar pengangguran yang dicatat lebih rendah (4.6 peratus : Sep 2020) dan placement rate 55 peratus memperelok pasaran buruh yang terjejas sebelum ini. Polisi perniagaan mikro pro rakyat yang ditunjukkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan juga sangat baik. Begitu juga bantuan kewangan BPN 2.0 yang mula diagih Oktober lalu mampu mengukuh ekonomi. Setidak-tidaknya Suku Keempat dijangka meraih kesan berganda khususnya sejak bermula inisiatif PENJANA, Jun lalu.

Sekian.

MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN
Penulis merupakan Setiausaha Akhbar Kementerian Alam Sekitar dan Air dan berkelulusan bidang Sains Politik – HARAKAHDAILY 16/11/2020

- Advertisement -