Kehidupan penduduk disantuni PAS dan NGO

- Advertisement -

LUMUT: PAS Kawasan Lumut bersama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Malaysia serta NGO Muslim Care telah menziarahi serta menyampaikan sumbangan kepada penduduk, kelmarin.

- Advertisement -

Kunjungan dilakukan Yang DiPertua dan Setiausaha PAS Lumut, Rosli Abd Rahman dan Hamidun Ahmad serta Ahli Jawatankuasa Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Malaysia, Dr Zuriati Ya’akob merangkap wakil Muslim Care.

Antara dilawati adalah guru Al-Quran, Rosini Taib yang baharu kematian suami, seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia pada 11 November akibat strok dihadapi sejak beberapa bulan sebelumnya di Taman Fasa 2J, Manjung, di sini.

Berkunjung ke Kampung Serdang rombongan tersentuh perasaan pertemuan tiga beradik kanak-kanak yatim piatu yang baharu kematian ibu pada 12 November lalu setelah bapa mereka kembali ke rahmatullah pada tahun 2016 dahulu.

Kini mereka dijaga bapa saudara yang mengambil tanggungjawab dan bertekad memberikan anak-anak ini pendidikan terbaik dengan menghantar mereka ke tahfiz Al-Quran agar mendapat pendidikan sempurna untuk masa depan mereka.

Antara turut diziarahi juga di situ adalah bekas pekerja Syarikat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), Muhammad Hezriza Rasdi yang kini terlantar kerana mengidap penyakit gout kronik sejak empat tahun lalu.

Dr Zuriati dalam pertemuan itu sempat memberikan tunjuk ajar dan nasihat kesihatan serta pergerakan sesuai dengan kemampuan otot kepada pesakit tersebut.

Antara turut serta adalah Ketua Muslimat PAS Lumut, Rohawati Abidin dan Ahli Jawatankuasa PAS Taman Fasa 2J, Saniah Abu Bakar serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Serdang, Yusof Idris. – HARAKAHDAILY 15/11/2020

- Advertisement -