Kedaifan hidup penduduk dapat perhatian PAS N9

- Advertisement -

KUALA PILAH: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Sembilan dalam program Ziarah Prihatin telah berkesempatan menjengah kehidupan penduduk di Kampung Guntur, Tengkek, di sini semalam.

- Advertisement -

Antara dikunjungi adalah keluarga seorang penoreh getah, Zairiman Aziz, 43, bersama isterinya, Nur Dina Atan, 20, yang juga seorang muallaf dan anak perempuan mereka berusia setahun tinggal hidup dalam kedaifan.

Keluarga kecil ini hanya berteduh di sebuah pondok yang dibina dengan batang pokok dan berdindingkan kanvas, sedang dapurnya beralas tanah serta serba-serbinya tersangat asas dari kehidupan orang lain.

Walaupun telah memohon, tetapi sudah lama mereka menanti untuk mendapatkan dari pihak berwajib kediaman Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) termasuk bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Namun, nasib dan kehidupan keluarga ini hanya mendapat perhatian satu badan bukan kerajaan (NGO) yang sudi menyumbangkan bahan binaan rumah dan proses menyiapkan kediaman asas bagi keluarga ini sedang berjalan.

Pada lawatan diketuai Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustafa ini telah menyerahkan sumbangan keperluan dapur dan peralatan solat disamping sedikit wang tunai bagi meringankan beban keluarga ini.

Rafiei juga menyatakan kesediaan PAS Negeri Sembilan untuk memenuhi keperluan keluarga ini sekadar termampu yang disambut Zairiman dengan rasa gembira atas keprihatinan tersebut kerana doanya dimakbulkan Allah.

Pimpinan PAS Negeri Sembilan yang hadir sama adalah Ketua Penerangan, Muhamad Badzli Abu Bakar dan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK), Ishak Omar serta Pengerusi LKK Dewan Muslimat, Rohayati Mt Dom dan Pengerusi LKK PAS Kawasan Kuala Pilah, Norfaizah Yusof.

Para dermawan yang ingin turut sama membantu boleh menyumbang menerusi akaun Bank Islam 05030010109346 atas nama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Sembilan. – HARAKAHDAILY 15/11/2020

- Advertisement -