MusMedik beri khidmat kesihatan secara atas talian

- Advertisement -

MUSLIMAT Medical Team (MusMedik) Dewan Muslimat PAS Malaysia melalui Gerakan Wanita Sejahtera (GWS) sentiasa aktif mengadakan siri GWS Live Bersama Doktor Anda menerusi medium Facebook yang bersiaran secara langsung setiap minggu.

- Advertisement -

Siri Facebook Live ini adalah satu inisiatif membina hubungan serta satu usaha memberi pendedahan dan maklumat berkaitan kesihatan dalam kalangan masyarakat, khususnya wanita.

Pengarah MusMedik, Dr Reen Mohd Amin berkata, menerusi medium tersebut, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkenaan penjagaan asas. Juga penyakit-penyakit berkaitan kesihatan fizikal, mental dan sosial wanita dan seluruh masyarakat Malaysia. Malah, ianya juga sebagai pemerkasaan terhadap norma baharu rentetan pandemik COVID-19.

“Pandemik ini telah memaksa kita menggunakan segenap keupayaan siber yang kita ada, di mana ia sebenarnya telah membuka ruang dan peluang yang lebih luas untuk kita berada semakin dekat dengan masyarakat,” ujar beliau.

GWS yang mengendalikan khidmat nasihat melalui Talian Sejahtera merupakan inisiatif Dewan Muslimat PAS Malaysia dalam menjaga kebajikan wanita Malaysia. Ia menawarkan khidmat sokongan psikososial secara percuma oleh Kaunselor Berdaftar, Pegawai Psikologi serta pakar-pakar bidang khusus. Khidmat ini diberikan untuk semua wanita Malaysia, meliputi bidang kaunseling, cybercare, agama, undang-undang dan kesihatan.

GWS telah dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam Majlis Perasmian Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia pada 11 September lalu. Kewujudannya diharap menjadi suara vokal yang terkenal dan menonjol dalam menangani cabaran, isu dan masalah wanita.

Menurut Pengarah GWS, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan, misi GWS antara lainnya adalah sebagai pusat sehenti bagi para wanita mendapatkan bantuan kaunseling atau khidmat nasihat. Di samping menurutnya, untuk mewujudkan sifat prihatin dalam kalangan anggota masyarakat bagi membantu mereka yang bermasalah.

Selain segmen GWS Live Bersama Doktor Anda, MusMedik yang terdiri daripada para profesional kesihatan dalam pelbagai jurusan telah membawakan pelbagai pengisian ilmiah melalui platform atas talian. Antaranya MusMedik Virtual Outreach Programme, merangkumi Teens’ Club Online Talk, MusMedik Online Class dan slot Tanya Doktor Anda menerusi medium Facebook Messenger.

“Ini juga adalah hadiah kami kepada seluruh wanita Malaysia di mana kami membawakan pakar-pakar perubatan dan kesihatan dekat kepada mereka.

“Wanita perlu menjaga kebajikan dan kesihatan diri mereka. Kerana wanita adalah tunjang masyarakat dalam membimbing dan mendidik keluarga khususnya ketika melalui satu fasa mencabar seperti pandemik COVID-19 ini,” ujar Dr Reen yang merupakan anak kelahiran negeri Bandar Bersejarah itu penuh optimis.

ZAITON ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 15/11/2020

- Advertisement -