Kaya atau miskin, keduanya berkelebihan di sisi Allah

- Advertisement -

PAYA BESAR: Allah S.W.T memberi kelebihan kepada orang kaya, berjawatan dan berpangkat semasa hidup di dunia, namun kepada golongan miskin dan susah pula dikurniakan kelebihan ketika di akhirat kelak.

- Advertisement -

ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya berkata, ujian yang datang kepada manusia tidak akan sia-sia di sisi Allah di mana semuanya mendatangkan pahala dari-Nya, hatta tercucuk duri di kaki sekalipun.

Namun yang penting peringatnya, baik mereka itu diberi nikmat kesenangan mahupun diuji dengan kesusahan, perlulah sentiasa sabar dan bersyukur iaitulah menunjukkan sama ada seseorang itu dekat kepada Allah atau tidak.

Kerana itulah jelasnya, di dalam Islam memerintahkan berzakat kepada mereka yang diberi kelebihan nikmat untuk membantu meringankan beban masyarakat yakni dalam kalangan saudara seagama lainnya.

Beliau berucap semasa program Sumbangan Bakul Makanan Bersama Koperasi Makmur Gold dengan kerjasama JKKK Kampung Pandan dan PAS Cawangan Pandan di Masjid Pandan 1, di sini semalam.

Program ini menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada penduduk susah dengan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Makmur Gold, Mohd Faizuddin Che Mahmood dan Hishamuddin Abdullah.

“Beginilah yang dikehendaki oleh agama. Bila berniaga, maka dapatlah mengeluarkan zakat. Ini juga sebab kenapa Islam galakkan dan penting lahirkan ramai tokoh-tokoh korporat dalam kalangan orang beriman.

“Sebab itu Islam memerintahkan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat di mana solat itu tanggungjawab kepada Allah, manakala zakat kepada sesama masyarakat,” ujar beliau.

Terangnya, zakat hanya diwajibkan kepada mereka yang layak yakni kalangan Muslim berkelebihan harta dan dapat mengeluarkan kefarduan itu merupakan satu kelebihan juga di mana diganjarkan Allah S.W.T dengan pahala.

Namun, orang susah yakni dalam kalangan penerima zakat juga terangnya, turut memiliki kelebihan di sisi Allah sebagaimana disabda Nabi S.A.W bahawa golongan itu paling ramai dalam syurga Allah.

Pun begitu beliau mengingatkan bahawa disebalik ujian kesusahan diterima, hakilatnya di sekeliling hidup pasti akan menemui mereka yang jauh lebih susah untuk sama-sama dapat bertolongan antara orang beriman.

Ustaz Tarmizi yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang pada ucapan itu turut menyeru masyarakat untuk menjaga agama dan mendidik anak-anak dengan agama, selain memaklumkan beliau sekiranya terdapat penduduk berkeperluan dibantu.

Hadir sama adalah Penghulu Mukim Kuala Kuantan 2, Roslan Amat dan Pengerusi Makmur Care, Siti Basyirah Ibrahim. – HARAKAHDAILY 16/11/2020

- Advertisement -