Pusat Mediasi COVID-19 (PMC-19)

- Advertisement -

AKTA Langkah-langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 [Akta 829] telah diwartakan pada 23 Oktober 2020. Akta ini antara lain, memberi relif kepada obligasi kontrak yang tidak dapat dilaksanakan akibat langkah-langkah kerajaan untuk menangani penularan pandemik COVID-19 bagi tempoh yang ditetapkan. 

Bagi tujuan ini, kerajaan telah bersetuju agar sebuah pusat pengantaraan (mediation centre) diwujudkan khusus untuk menangani pertikaian komersil bagi kategori kontrak sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 7 [Akta 829], iaitu:

- Advertisement -

(1) Kontrak kerja pembinaan atau kontrak perundingan pembinaan dan apa-apa kontrak lain yang berhubungan dengan pembekalan bahan, kelengkapan atau pekerja pembinaan yang berkaitan dengan suatu kontrak pembinaan;

(2) Bon pelaksanaan atau yang setara yang diberikan menurut suatu kontrak pembinaan atau kontrak pembekalan;

(3) Kontrak perkhidmatan profesional;

(4) Pajakan atau sewaan harta tak alih bukan kediaman;

(5) Kontrak acara bagi penyediaan mana-mana tempat, penginapan, kemudahan, pengangkutan, hiburan, katering atau barangan atau perkhidmatan lain termasuklah, bagi mana-mana mesyuarat perniagaan, perjalanan insentif, persidangan, pameran, acara jualan, konsert, pertunjukan, perkahwinan, parti atau perhimpunan sosial lain atau acara sukan, bagi peserta, orang yang hadir, tetamu, penaung atau penonton bagi perhimpunan atau acara itu;

(6) Kontrak oleh pengusahaan pelancongan yang sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] dan kontrak bagi penggalakan pelancongan di Malaysia; dan

(7) Kontrak yang berhubungan dengan ziarah keagamaan.

Pusat pengantaraan yang dikenali sebagai Pusat Mediasi COVID-19 (PMC-19) akan beroperasi dan menerima permohonan khidmat pengantaraan mulai 11 November 2020 bagi nilai pertikaian yang tidak melebihi RM300,000.00. Pemohon di bawah kategori B40, M40 serta PKS Mikro dan Kecil adalah layak menerima subsidi bagi menampung kos khidmat pengantaraan. 

Syarat-syarat kelayakan permohonan boleh disemak menerusi laman sesawang www.pmc19.gov.my. Kerajaan akan mengadakan kolaborasi dengan penyedia perkhidmatan mediasi untuk menyediakan khidmat pengantaraan kepada pemohon yang layak. 

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Menteri di Jabatan Perdana Menteri 
(Parlimen dan Undang-undang) – HARAKAHDAILY 12/11/2020

- Advertisement -