PAS Negeri Sembilan gerak misi bantuan banjir

SEREMBAN: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Sembilan telah melaksanakan Misi Bantuan Mangsa Banjir ke atas penduduk yang terkesan oleh bencana alam ini selama tiga hari berturut-turut.

Advertisement

Misi dengan kerjasama Khidmat Malaysia Negeri Sembilan ini telah menyampaikan sumbangan bantuan keperluan asas dapur dan wang tunai kepada keluarga mangsa ekoran banjir kilat yang melanda negeri ini 4 November lalu.

Kelmarin, kunjungan ziarah dan sumbangan telah dilaksanakan pimpinan PAS diketuai Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustafa di Kampung Blok C dan Kampung Ismail Ampangan serta Taman England Sikamat.

Di samping barangan berupa susu bayi, lampin pakai buang, telekung, sejadah dan barangan lain bersama wang tunai, bantuan membersihkan kediaman turut dilakukan, selain memberi sokongan moral kepada penduduk.

Sukarelawan daripada Jabatan Amal dan Briged Muslimat turut menjayakan misi diselaraskan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Sembilan, Ishak Omar dan Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Sembilan, Norman Ipin.

Turut serta dalam menyantuni warga penduduk ini adalah para pemimpin PAS Seremban antaranya Setiausaha, Ishak Yahya dan Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Kawasan serta Ahli Jawatankuasa Lajnah.

Sementara di REMBAU pula, inisiatif sama telah diperluaskan pihak PAS Negeri Sembilan kepada para penduduk dan kediaman di sekitar Sungai Radin, Kampung Nerambai dan Kampung Semin, semalam.

Pimpinan PAS Kawasan Rembau yang turut serta adalah Yang DiPertua, Kamarol Ridzuan Mohd Zain dan Ketua Penerangan, Dr Muhamad Badzli Abu Bakar serta Ketua Ulamak, Ustaz Md Nazri Md Yusof dan Ketua Muslimat, Masita Mohamed Ali.

Bersama dalam menyampaikan sumbangan, mendekati dan memberikan semangat kepada penduduk yang masih trauma akibat kerosakan harta benda adalah pihak Amalnita Negeri Sembilan dan juga Sahabat Amal Care.

Manakala bantuan sama oleh PAS Negeri Sembilan telah digerakkan secara khusus di DUN Rantau terutama kepada para penduduk dan kediaman di Kampung Kuala Sawah dan Kampung Sega telah diadakan hari ini.

Pimpinan PAS Rembau yang terlibat adalah Yang DiPertua, Kamarol Ridzuan Mohd Zain dan Naib Yang DiPertua, Yahya Mohd Zain serta Ketua Muslimat, Masita Mohamad Ali.

Juga Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Sembilan, Ishak Omar dan Ketua Khidmat Malaysia Negeri Sembilan, Norman Ipin.

Para dermawan yang prihatin boleh menyokong usaha ini dengan sumbangan ke akaun Bank Islam 05030010109346 atas nama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Sembilan. – HARAKAHDAILY 12/11/2020