BANGI: Dewan Himpunan Pendukung (DHPP) PAS Kawasan Bangi yang tersohor dengan gerak kerja kebajikan rakyat telah turun padang bagi meraikan penduduk kaum India sempena Deepavali beberapa hari lagi.
Bertempat di Flat Council Home, Seksyen 6 Bandar Baru Bangi, program Bakul Kasih DHPP Bangi kali ini turut di sertai Yang DiPertua PAS Bangi, Ustaz Shafie Ngah bersama Ketua DHPP Bangi, Manikam Ponna Raman.
Program ini bertujuan untuk membantu golongan masyarakat India di Bangi sempena Deepavali yang bakal tiba dengan memberi sumbangan berupa makanan ‘muruku’ berserta duit raya disampaikan kepada lebih 10 keluarga.
Ustaz Shafie berkata, DHPP Bangi adalah antara DHPP terbaik di Selangor dalam usaha berterusan menyantuni kaum India dan Cina khususnya di Parlimen Bangi.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor merakamkan ucapan tahniah buat DHPP dan mengambil kesempatan memberi ucapan selamat dan pesanan agar bersabar dalam ujian yang kini melanda negara kepada para penerima.
Seorang penerima yang dikenali sebagai Sumathy telah merakamkan rasa terharu akan sumbangan dari PAS Bangi yang banyak membantu meringankan beban keluarganya di saat kesukaran hidup berikutan pandemik COVID-19. – HARAKAHDAILY 12/11/2020