Penting menyatupadukan pendapat hadapi COVID-19

- Advertisement -

KITA dengar beberapa asatizah yang mengesyorkan kajian saintifik dijalankan berkaitan SOP Masjid di musim PKP. Begitu juga ada yang tak puas hati terhadap kaedah pengurusan jenazah pesakit COVID-19. Kata mereka, bukti dan dalil kebolehjangkitan itu perlu dalam menentukan sesuatu hukum. Maka bercemperalah tukang syarah yang tak bertauliah dalam media sosial.

Kita hormati pandangan mereka. Mereka yang hebat-hebat seperti para asatizah itu mempunyai hak dan merit untuk membahaskan hukum. Cuma syor dari saya agar lebih manis untuk para asatizah semua bersua muka, menyatakan pandangan kepada para penggubal hukum seperti mufti atau seumpamanya. Bukannya melalui saluran media sosial yang sudah tentu banyak menimbulkan kemelut. Lebih merungsingkan kita yang berada di barisan hadapan ini adalah sudah timbul riak-riak tidak sihat yang menuduh pihak berwajib itu wakil Dajal, ejen Yahudi, geng WHO yang dipelopori oleh Kuffar dunia. Sakit hati pula mendengarnya. 

Tugas frontliner semakin rumit untuk menjalankan proses, pengesanan, saringan swab kerongkong, kuarantin dan rawatan yang sepatutnya. Sudah terdapat di kalangan rakyat yang menghalang usaha mengekang wabak ini dari terus menggila. Ramai juga yang sudah tidak mahu mengikuti SOP yang ditetapkan.

- Advertisement -

Ingatlah, kita masih belum menang! Melawan para pembenci doktor dan orang kesihatan lebih rumit nampaknya dari melawan makhluk halus yang tidak nampak seperti COVID-19.

Sesungguhnya dalam menguruskan krisis wabak ini, ‘single command’ amat penting. Maknanya pihak berkuasa adalah satu-satu badan berautoriti bagi mengeluarkan segala polisi yang sudah tentu difikirkan masak-masak untuk dilaksanakan dalam masyarakat. Merekalah pakar, merekalah ahli dalam bidang itu. Jika ada idea baharu, atau berlainan dari apa yang telah dikeluarkan, sudah tentu ruang masih terbuka untuk dibincangkan. Cuma kaedahnya perlu manis dan mesra. Bukannya memberi ruang kepada para pemfitnah ejen konspirasi yang selalu mencari ruang untuk membaham. Maaf saya pinta atas syor ini.

Berbalik kepada keperluan penjarakkan fizikal dan SOP lain, sudah beratus-ratus kajian dijalankan seluruh dunia. Melalui laporan dari jurnal Lancet ini sebanyak 172 kajian observational dijalankan. Kajian-kajian itu dijalankan di 16 buah negara seluruh dunia, antaranya US, China, Arab Saudi, Thailand dan beberapa lagi. Keputusannya: penjarakkan fizikal minima 1 meter, penggunaan pelitup muka dan face shield amat memberi kesan berguna dalam menghalang wabak COVID-19. Saya yakin banyak lagi kajian lain yang telah atau sedang dijalankan bagi menambah baik pengurusan wabak.

Tiada kajian kes kawalan digunakan. Mungkin ianya menyalahi etika kajian. Kajian kes kawalan ini bermaksud, kita bahagikan dua kumpulan manusia. Satu kumpulan duduk jarak dan satu kumpulan lagi duduk dekat. Kemudian pengkaji dedahkan kedua-dua kumpulan itu kepada Virus COVID-19. Dari sudut etika kajian salah kita buat begitu, sebab siapa sanggup hadapi risiko jika dijangkiti? 2 dari 100 kes berkeupayaan mungkin mati dijangkiti COVID-19! Siapa nak?

Justeru memadai dengan kajian obeservational yang telah dijalankan setakat ini.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 11/11/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -