Menggerak peranan dakwah dalam agensi kerajaan

- Advertisement -

BILA bekerja dalam agensi kerajaan semula ini teringat kenangan bekerja di UMP dulu (2003-2013). Memang cita-cita saya seawal balik dari Mesir, ingin bekerja sendiri, supaya lebih bebas dalam dunia yang saya cenderung iaitu dakwah dan tarbiyah. Namun rasanya tak sampai sebulan di rumah, Imam Besar Masjid Negeri yang juga Mudir Maahad Tahfiz Negeri Pahang (Pengarah JAIP sekarang) menelefon ketika itu mempelawa untuk menjadi imam sambilan masjid negeri. Berbincang dengan isteri dan mak ayah, mereka berpandangan terimalah… Allah nak bagi rezeki… 

Menjadi imam sambilan dengan giliran 3 hari sekali bertugas di samping mengajar kelas al-Quran di masjid negeri memberikan saya banyak masa lapang. Tambahan lagi masa itu anak baru seorang. Malam-malam hari kerja diisi dengan kuliah maghrib atau ceramah sekitar Kuantan. Pagi atau tengahari mengisi jemputan tazkirah di pejabat-pejabat kerajaan atau industri swasta. Sebelah petang atau lepas Isyak menjadi naqib usrah pelajar atau cawangan juga sekitar Kuantan. Sabtu Ahad biasanya ke luar daerah mengisi tamrin, mukhayyam atau jemputan ceramah.

7 bulan selepas menjadi imam, ditawarkan bertugas di UMP yang masa itu namanya KUKTEM. Kebetulan ia baru dibuka tahun 2002 dan berpindah dari Indera Mahkota ke Gambang. Gambang memerlukan pengurusan masjid segera bagi kemudahan solat Jumaat. Perancangan saya semasa itu adalah untuk membuka pusat atau Akademik al-Quran sendiri dengan memanfaatkan pengalaman mengajar kelas al-Quran di masjid negeri. Juga supaya lebih bebas berdakwah dan tarbiyah. Saya menerima tawaran kerja UMP setelah berbincang dengan keluarga dan sahabat-sahabat yang berpendapat UMP juga adalah lubuk dakwah dan tarbiyah.

- Advertisement -

Saya berusaha dan cuba melakukan yang terbaik (walaupun sebenarnya banyak lagi kekurangan) sepanjang berkhidmat di UMP. Program pembangunan insan kepada staf serta perkaderan, dakwah dan tarbiyah kepada adik-adik siswa. Dibantu sahabat-sahabat ketika itu, menjadi antara kenangan terindah. Namun keperluan jamaah menjadikan saya diminta untuk ke hadapan dalam gerak kerja politik. Berbetulan semasa itu ada anak yang diuji dengan kanser yang memerlukan perhatian lebih untuk tempoh seketika, saya melepaskan jawatan di UMP. Dari 2013 menjadi Naib Ketua Pemuda PAS, Ketua Pemuda PAS Pahang untuk dua penggal, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat dan lain-lainnya sehinggalah menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu. Menjadi calon PRU lah sesuatu yang tidak pernah tergambar sebelumnya dalam benak pemikiran. Namun saya menerima juga akhirnya demi sebuah perjuangan. Walaupun tidak menang, banyak pengalaman dan ilmu yang diperolehi darinya.

Kini sekali lagi berpeluang bekerja dalam agensi kerajaan yang juga merupakan platform dakwah dan tarbiyah. Kita impikan Negara Malaysia yang menepati ciri-ciri Baldatun Tayyibatun wa Rabun Ghafur. Negara yang diisi dengan agenda pembangunan insan menerusi teras Islam, kelestarian ekonomi, berkebajikan, penegakkan amar makruf nahi mungkar dan menjadikan akhirat sebagai wawasan.

Keadaan politik negara berubah-ubah dan dilihat tidak stabil. Insya-Allah akan ada ahli politik atau pemimpin yang ikhlas menghadapi, menangani dan mendepaninya. Namun kita sebagai rakyat dan warganegara yang tercinta ini, harus fokus memanfaatkan seluruh peluang yang ada demi cita-cita Islam Memimpin. Mari kita bergandingan tangan memperkasakan islah, dakwah dan tarbiyah. Masih ramai yang memerlukan bimbingan kita untuk membawa mereka keluar dari kekeliruan dan kegelapan jahiliyyah kepada cahaya indah kesempurnaan Islam.

Segala puji bagi Allah yang menjadikan untuk saya dan kita semua kehidupan yang penuh warna warni dalam usia yang ada ini. Jom bersama kita tingkatkan usaha islah, dakwah dan tarbiyah meneruskan misi Rasulullah S.A.W…

USTAZ HAZMI DIBOK – HARAKAHDAILY 11/11/2020

- Advertisement -