KPPK rangka 3 strategi jaga kebajikan pekebun, penoreh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) merangka tiga strategi untuk menjaga kebajikan golongan pekebun kecil dan penoreh getah yang terjejas pendapatan susulan harga getah yang rendah.

Menurut Menteri KPPK, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, antara langkah berkenaan kementeriannya akan mempergiat hebahan dan kesedaran kepada pekebun kecil agar memohon Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

- Advertisement -

Hebahan ini untuk mewajibkan pekebun kecil menggunakan sistem RRIMNiaga yang akan berfungsi pada 1 Januari 2021 bagi memudahkan penyaluran IPG tanpa proses permohonan manual.

“IPG adalah mekanisme sokongan harga ladang dengan Paras Harga Pengaktifan (PHP) RM2.50 sekilogram getah sekerap atau RM6.10 sekilogram getah Standard Malaysian Rubber (SMR) 20.

“Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020, sebanyak RM149 juta telah dibelanjakan untuk membiayai tuntutan IPG,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

KPPK juga menggalakkan pekebun kecil mengamalkan tanaman integrasi jangka pendek, sederhana dan panjang sebagai pendapatan sampingan.

Antara tanaman yang sesuai katanya, pisang, betik, nenas, durian dan buah salak. Selain itu, integrasi ternakan seperti lebah dan kelulut juga berpotensi untuk diusahakan.

“Pengintegrasian yang sistematik dan mengamalkan amalan pertanian baik (Good Agriculture Practices-GAP) membolehkan pekebun kecil mendapat pendapatan sampingan sehingga pokok getah mencapai usia 30 tahun,” katanya.

Pada masa yang sama, Mohd Khairuddin berkata pihaknya akan menambah baik pelaksanaan mekanisme penetapan harga di ladang dengan memperkasa peranan koperasi sebagai pembeli getah.

Tambah Ahli Parlimen Kuala Nerus itu lagi, menerusi langkah ini lapisan pembeli akan dikurangkan dan seterusnya dapat meningkatkan harga pembelian getah di peringkat ladang (farm gate price).

“Sehingga kini, sebanyak 20 koperasi terlibat dalam urusniaga getah dan menawarkan harga cup lump pada purata RM0.10 sehingga RM0.20 sekilogram lebih tinggi berbanding pembeli getah lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta Dato’ Seri Idris Jusoh [BN-Besut] untuk menyatakan usaha KPPK mengatasi masalah pendapatan golongan penoreh getah yang berhadapan dengan isu harga komoditi getah yang tidak stabil kebelakangan ini.

Terdahulu Mohd Khairuddin mengulas antara punca ketidakstabilan harga getah kerana komoditi itu bergantung kepada permintaan dan penawaran pasaran di peringkat global.

Selain itu harga getah rendah direkodkan sejak awal dan pertengahan tahun ini antara lain disebabkan oleh kelembapan ekonomi dunia.

Ia juga berkaitan permintaan yang rendah dari negara-negara pengguna utama getah asli berikutan ketegangan perdagangan China dan Amerika Syarikat termasuk penularan wabak Covid-19 yang melanda di seluruh dunia. – HARAKAHDAILY 11/11/2020

- Advertisement -