Sedia runding luar selesai isu KVDT2

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mengadakan rundingan di luar mahkamah dengan pihak Syarikat Dhaya Maju LTAT susulan penamatan kontrak Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Dato’ Takiyuddin Hassan berkata kerajaan berdepan tiga tuntutan sivil berikutan penamatan kontrak berkenaan.

- Advertisement -

Katanya, tiga tuntutan berkenaan ialah, semakan kehakiman; writ saman kerana mungkir kontrak atau tuntutan ganti rugi daripada pihak syarikat dan permohonan injunksi yang diambil kerajaan.

“Dalam hal ini suka saya cakap, bukan saja dalam kes sivil ini, mana-mana kes yang dihadapi kerajaan, sikap kerajaan terbuka untuk sentiasa merunding apa-apa penyelesaian di luar mahkamah.

“Sama dengan kes ini, Jumaat lepas dalam mesyuarat Kabinet, Jemaah Menteri buat keputusan supaya ada kesepakatan dirunding antara syarikat ini dan Kementerian Pengangkutan (MoT) supaya situasi menang-menang dicapai.

“Memang saya akui, kelewatan akan dihadapi kerajaan untuk laksanakan, kerana ia membabitkan tindakan, termasuk injunksi. Syarikat sudah dapat injunksi interim terhadap kerajaan. Tapi ada beberapa permohonan lain yang sedang ditetapkan tarikh oleh mahkamah dalam bulan ini,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Loke Siew Fook [PH-Seremban] yang menanyakan sama ada kerajaan sedia mengadakan rundingan semula berhubung projek KDVT2 berkenaan. – HARAKAHDAILY 11/11/2020

- Advertisement -