Menyingkap tabir perasaan rindu dan cinta

- Advertisement -

APABILA rindu itu datang mengganggu ia amat menyakitkan. Sesekali rindu menjengah ia boleh menyiksa jiwa dan batin. Lagi tersiksa jika rindu itu kepada yang telah tiada.

- Advertisement -

Rindu kepada seseorang yang jauh juga boleh membuatkan angau yang tidak keruan. Apatah lagi rindu kepada seseorang yang tidak ambil kisah dan peduli akan perasaan ini menjadikan ‘haru biru’ dibuatnya.

Namun, rindu kepada Rasulullah S.A.W adalah rindu yang paling agung.

Apa itu rindu?

Rindu itu ialah cinta yang berlebihan dan ada rindu disertai dengan menjaga diri dan ada juga diikuti dengan kerendahan hati. Rindu bukanlah sesuatu hal yang tercela dan keji, akan tetapi perlulah disertai dengan menjaga diri, kesucian dan kerendahan hati. Seseorang yang ketika dia rindu, tetapi dia menjaga dirinya dengan tidak melakukan hal-hal haram menurut Islam, itu adalah dibolehkan.

Dan seandainya rindu itu juga disembunyikan dari orang-orang, maka pahalalah yang akan diperolehi. Menurut Ath-Thohawi di dalam kitab Haasyia’ah Marakil Falah dari Imam Suyuthi mengatakan bahawa dari golongan syuhada di akhirat adalah orang-orang yang mati dalam kerinduan dengan tetap menjaga kehormatan diri dan disembunyikan dari orang-orang mestipun rindu itu hadir dari perkara yang haram.

Seseorang yang merindui seseorang sehingga dia mati dan disembunyikan rasa itu dari orang lain, maka dia akan mendapat pahala syahid di akhirat kerana ianya menunjukkan bahawa dirinya memiliki sifat sabar. Dia memendam rasa rindu dan menyimpannya sendirian kerana dirinya menjaga kehormatan diri, mengikat hatinya, jiwanya, tubuh badannya dari dikuasai oleh rasa rindu.

Di sini, dikongsikan bersama satu kisah antara Saidina Ali dan Fatimah Az-Zahrah:

Setelah pernikahan antara Ali dan Fatimah, Fatimah telah berterus terang dengan Saidina Ali akan sesuatu perkara, “Wahai Ali, sebelum aku menikahi engkau di Kota Makkah, ada seorang lelaki yang telah menjadi idola di hatiku. Aku sangat ingin kelak dia menjadi suamiku. Tapi semua itu aku simpan di dalam hatiku,” kata Fatimah.

“Kalau begitu, engkau menyesalkah mengahwini aku?” tanya Ali.

“Tidak. Kerana pemuda itu adalah engkau,” jawab Fatimah.

Dalam Wikipedia Bahasa Melayu menyatakan, cinta itu adalah satu perasaan kuat dan positif yang berdasarkan kasih sayang.

Cinta merupakan satu ukuran asas pengalaman manusia yang memberikan antaranya, perasaan kasih sayang, tarikan, asas kemesraan dan keserasian antara perorangan, rela berkorban untuk orang lain, perasaan tertarik dan hubungan kepada alam, benda hidup ataupun makhluk lain.

Ia dapat ditunjukkan melalui perasaan, emosi, kelakuan, pemikiran, persepsi dan sikap. Ia mempengaruhi, mendasari dan menentukan pola utama hubungan antara perorangan dan pengenalan diri.

Hati sering menjadi lambang cinta

Beberapa bahasa, termasuk Bahasa Melayu apabila dibandingkan dengan beberapa bahasa mutakhir di Eropah, terlihat lebih banyak kosa katanya dalam mengungkapkan konsep ini. Antaranya ialah kasih, sayang, rindu, dan berahi.

Cinta jarak jauh merupakan situasi di mana sepasang kekasih (yang halal) atau tidak halal berjauhan di antara satu sama lain. Manusia sering menginginkan cinta. Dalam cinta ada suatu ketulusan perasaan yang membuatkan manusia yang merasainya gembira, sedih, rasa keyakinan, rasa dimiliki, dan sebagainya.

Dalam cinta biasanya tersimpan seribu macam perasaan yang amat sukar digambarkan. Bermula dengan rasa suka, hati berdetak, mulut tersenyum tanpa bicara, muka bertambah seri, dan akhirnya cinta itu menjadi milik kita. Amat mudah untuk melafazkan cinta, tetapi amat mudah juga melupakan cinta. Cinta yang sejati lahir dari hati yang tulus.

Namun, cinta yang paling suci adalah cinta kepada Allah. Cinta yang paling agung adalah cinta kepada Rasulullah S.A.W.

Tanda cinta kepada Nabi Muhammad S.A.W

Apa sebenarnya tanda cinta? Allah memberi jawapan dalam surah Ali Imran:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Ali-Imran: 31)

Nyata bahawa tanda cinta ialah; ikut. Maka tanda cinta kita kepada Nabi ialah dengan mengikuti baginda. Malah Nabi S.A.W sendiri meletakkan kesediaan kita mengikuti baginda sebagai tanda iman kita kepadanya;

“Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga keinginan dirinya dapat mengikuti apa yang aku bawa.”
(Hadis dari Abdullah bin ‘Amru RA; matan Hadis 40 Imam Nawawi)

Cinta menurut pandangan Islam

Jika kita berbicara mengenai cinta, pasti kita tidak terlepas daripada memperkatakan kisah cinta monyet yang menjadi nadi kepada kehidupan muda-mudi masa kini. Malahan kebanyakan cinta seperti ini menjurus kepada pelakunya untuk membuat perkara maksiat tanpa menilai dan memahami erti cinta yang sebenar-benarnya. Cinta bukan sekotor itu.

Cinta sebenarnya merupakan satu fitrah yang ada di dalam hati setiap manusia. Cinta wujud hasil daripada satu perasaan yang halus. Cinta mewujudkan perasaan kasih sayang dan belas kasihan sesama manusia dan makhluk di dunia ini. Tanpa perasaan cinta, seseorang itu akan merasai kekosongan di dalam jiwa mereka.

Cinta yang hanya berpaksikan tuntutan fitrah tanpa dicemari oleh hawa syahwat melambangkan kedamaian, keamanan dan ketenangan. Bagaimanapun, cinta seringkali diperalatkan untuk melepaskan keghairahan nafsu. Maka akan terjadi bermacam perkara yang merosakkan manusia dan membawa kepada kemaksiatan dan kehancuran umat. Terutama bagi golongan remaja yang terlalu taksub dan asyik dengan cinta tanpa ada penilaian dan pertimbangan akal fikiran yang waras.

Cinta yang hanya berlogikkan nafsu dan syahwat semata-mata hanyalah cinta palsu yang penuh jijik dan hina. Oleh hal yang demikian itu, sebagai remaja, terutamanya remaja Mukmin, sewajarnya peka terhadap kehadiran cinta di dalam jiwa. Iaitulah dengan lebih memahami makna dan erti serta cara yang sesuai untuk menerima dan memberi cinta kepada seseorang. Jangan hanya membuta tuli dan mengikut tuntutan nafsu semata.

Cinta dan permasalahannya telah menjadi perkara serius yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Pertembungan antara cinta hakiki dengan cinta palsu menyebabkan umat Islam menghadapi dilema perasaan yang kronik. Krisis cinta palsu telah menyebabkan umat Islam memusnahkan etika spritual – membunuh solidariti dan menodai sosial sehingga ada sanggup membunuh dan membunuh diri akibat daripada tekanan perasaan yang sukar untuk dikawal.

Islam tidak memusuhi cinta. Ini sesuai dengan ciri-ciri Islam sebagai agama yang menepati fitrah manusia. Malah, Islam memandang tinggi persoalan cinta di mana tentunya merupakan perasaan dan fitrah yang menjiwai naluri setiap manusia.

Bagaimanapun, cinta di dalam Islam perlulah melalui pelbagai peringkat keutamaannya yang tersendiri seperti:

(1) Cinta kepada Allah

Islam meletakkan cinta yang tertinggi dalam kehidupan manusia, iaitu cinta kepada Allah. Tanpa cinta kepada Allah, pelakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti. Sedangkan apa yang menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan dan mencintai Allah. Dengan cinta akan mendorong manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah serta menerbitkan iman yang mantap.

Firman Allah S.W.T :

“… (Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain daripada Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah ; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah..”
(Al-Baqarah : 165)

Di sini dikongsikan doa memohon cinta dari Allah. Semoga amalan ini dapat mendekatkan kita kepada Allah bahkan ia boleh mendatangkan ketenangan perasaan, hati dan jiwa kepada pengamalnya. In sya Allah.

‎اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَالْعَمَلَ الَّذِي يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu cinta-Mu dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu dan aku memohon kepadaMu amalan yang dapat menyampaikanku kepada cinta-Mu.”
(Hadis Hasan, Riwayat Tirmidzi)

(2) Cinta kepada Rasulullah S.A.W dan para Anbiya’

Ketika manusia berada di dalam kegelapan, maka diutuskan pembawa obor yang begitu terang untuk disuluhkan kepada manusia ke arah jalan kebenaran. Pembawa obor tersebut ialah Rasulullah SAW. Maka, menjadi satu kewajipan kepada setiap yang mengaku dirinya sebagai Muslim memberikan cintanya kepada Rasulullah dan para Anbiya´ dengan mengikut segala sifat yang terpuji. 

Kerana perasaan kecintaan inilah, para Sahabat R.A sanggup bergadai nyawa dan menjadikan tubuh masing-masing sebagai perisai demi mempertahankan Rasulullah S.A.W dalam usaha Baginda untuk menyebarkan agama Islam.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, ada disebut:

“Diriwayatkan daripada Anas R.A, katanya: Nabi S.A.W bersabda: “Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperoleh kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain kedua-duanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya daripada kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam neraka.”
(Bukhari No. 15, Muslim No. 60, Tirmizi : No. 2548, Nasaie: No. 4901)

(3) Cinta sesama Mukmin

Perasaan kasih sayang sesama manusia merupakan tonggak utama untuk menyalurkan konsep persaudaraan. Cinta inilah yang mengajar kita supaya mencintai ibu bapa dan keluarga. Selain daripada cinta kepada kedua-dua ibu bapa, Islam juga meletakkan cinta sesama Mukmin sebagai syarat kepada sebuah perkumpulan atau jemaah yang layak bersama Rasulullah SA..W.

Maksud firman Allah S.W.T :

“… Nabi Muhammad SAW ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)..”
(Al-Fath : 29)

Inilah yang telah diajar oleh Islam. Maka masyarakat sejagat, malah umat Islam sendiri dapat melihat bahawa betapa agungnya unsur kasih sayang dan cinta yang terdapat di dalam Islam dan begitu jualah agungnya penjagaan Islam sendiri terhadap umatnya supaya tidak mencemarkan kesucian cinta dengan kekotoran nafsu.

Itulah cinta di dalam Islam. Ia haruslah diasaskan di atas dasar keimanan kepada Allah. Alangkah ruginya cinta yang lari dari landasan iman. Lalu akan hanyutlah jiwa-jiwa yang menyedekahkan dirinya untuk diperlakukan oleh ‘syaitan cinta’ sewenangnya-wenangnya.

Sesungguhnya cinta sebelum perkahwinan merupakan cinta palsu walaupun dihiasi dengan rayuan manja kerana itu hanya panggilan ke lembah kebinasaan. Masa muda yang dianugerahkan oleh Allah hanyalah sekali berlaku dalam hidup dan tidak berulang lagi untuk kali kedua atau seterusnya.

Maka dalam meniti usia, remaja perlu berhati-hati dengan mainan perasaan walaupun merupakan perkara yang amat sukar dilakukan, apatah lagi semakin dihambat usikan perasaan, semakin ia datang mencengkam. Itulah azam untuk melawan nafsu dan alangkah malunya untuk tewas dan merelakan diri dibawa oleh arus yang menghancurkan.

Jangan jadikan diri sebagai hamba cinta yang hanya berlandaskan nafsu tanpa pertimbangan akal yang waras. Seharusnya mengawal perasaan cinta kerana jika terlalu obses terhadap seseorang, manusia biasanya akan hilang kawalan dan tidak dapat menerima hakikat kehilangan, lantas sanggup melakukan sesuatu yang buruk untuk melepaskan perasaan kecewa dan mengalami tekanan perasaan.

Setelah pula dengan senario semasa yang mana penularan wabak COVID-19 sedang merengut ketenangan jiwa yang mengundang kegelisahan dan mungkin menyebabkan tekanan emosi. Bahkan ada sesetengah mereka menghadapi masalah ketiadaan air di premis masing-masing sepertimana yang berlaku di beberapa kawasan di Selangor baru-baru ini.

Adakah situasi tersebut boleh membuatkan mereka lagi tertekan? Ya, ada kemungkinannya dan ia tergantung kepada tahap iman seseorang.

Sehubungan dengan itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) bijak mencari solusi dengan menyediakan khidmat nasihat melalui Talian Sejahtera yang menawarkan khidmat sokongan percuma oleh Kaunselor Berdaftar, Pegawai Psikologi serta khidmat nasihat dan pandangan dari pakar DMPM merangkumi Pakar Kesihatan, Pakar Agama, Pakar Keselamatan Siber dan Pakar Undang-undang.

Kepada anak-anak muda, remaja khususnya wanita yang ingin mendapatkan khidmat tersebut boleh menghubungi Talian Sejahtera 011-5338 2177 yang beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 9:00 pagi – 5:00 petang. Pihak Operator akan mendapatkan maklumat anda. Kaunselor atau Pakar bidang yang bertugas akan menghubungi anda. Semua maklumat peribadi anda adalah dirahsiakan.

Maka, Solusi tersebut sedikit sebanyak diharap dapat membantu. Syabas dan tahniah DMPM atas usaha kalian!

Selain itu, kita juga boleh mengamalkan beberapa doa supaya kita lebih tenang dalam menghadapi situasi sekarang ini. Antaranya doa dan wirid yang terdapat dalam Al-Mathurat.

Al-Mathurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. Ia boleh memantapkan jiwa disamping memiliki keutamaan dalam segala aspek kehidupan. Mendidik hati agar sentiasa merindui kepada Ilahi dan memberi kelapangan hidup dan kesihatan jasmani.

Terdahulu, beberapa bulan lepas DMPM telah melancarkan satu produk baharu dalam kalangan muslimat iaitu Buku Amalan AKIFI dan yang terkini diperbaharui dengan mengisi aplikasi MyMutabaah. Setiap amalan akan dicatit di aplikasi tersebut. Ia dapat membentuk peribadi muslimat yang unggul di samping mendidik muslimat agar terus istiqomah beramal. Selain menjadi perisai kepada mujahidah. Tahniah dan syabas kepada Tentera 12J.

UMMU ANAM KHAIR – HARAKAHDAILY 10/11/2020

- Advertisement -