Jangan lupakan tangisan pelarian Syria di musim sejuk

- Advertisement -

UJIAN kepada mereka bertindan tindih, api peperangan yang membakar bahagia dan merengut kebebasan, hilang tempat tinggal dan hidup terbuang. Tahun kesembilan derita rakyat Syria selepas Arab Spring meledak di Asia Barat dan nasib bekas tanah jajahan Perancis ini tak sebaik negara lain dengan konflik yang rencam, perang proksi dan perang antara mazhab. Tahun ini dengan pandemik Covid-19 yang telah menjangkau 49 juta pesakit di seluruh dunia, juga membawa kesan hiliran kepada warga Syria di khemah pelarian. Kantung derma menguncup perlahan kerana impak ekonomi global tak memungkinkan masyarakat ghairah menderma.

- Advertisement -

Peta luka umat Islam seperti tiada pancingan pesona buat warga dunia, darah yang tumpah seperti darah kerbau yang tiada nilainya. Covid menjadi tema utama masyarakat antarabangsa, yang tewas telah berjumlah seramai 1 251,044 jiwa manakala yang telah dijangkiti seramai 49.917 juta di seluruh dunia. Sehingga kini, vaksin anti pandemik belum lagi ditemui oleh pengkaji. Manakala di khemah pelarian Syria, jangkitan Covid mula dikesan oleh WHO pada bulan September lepas.

Kesan Covid sangat sadis kepada isu kemanusiaan peta luka, bertempiklah sehingga bergegar dunia, bagi yang tak peduli mereka tetap tak kisah. Gaza yang merintih, al Quds yang dijajah, Rohingya yang disembelih, Bosnia yang rawan atau Kashmir yang disergap kesakitan. Peta luka umat Islam memerlukan kepedulian umat, tidak cukup kita mengeluh dan berpeluk tubuh di hadapan kaca TV melihat angka-angka baru pesakit dan kematian Covid-19.

Pagi ini di  Reyhanli, iaitu kawasan sempadan Syria-Turki, paras suhu ialah 12 darjah celcius , suhu ini akan makin menurun sehingga kemuncak musim sejuk dengan suhu di bawah paras minus sangat mendera para pengungsi. Pelarian ini juga tidak pasti bilakah kubangan darah di tanah air mereka akan berhujung. Kemuncak musim sejuk dengan salju putih memenuhi kawasan pengungsian seolah berada di kutub Utara, timbunan salju sehingga beberapa kaki ini juga mengheret duka pelarian.

Pelarian Syria yang berada di sempadan Turki agak bernasib baik kerana keprihatinan kerajaan pimpinan Erdogan yang menyediakan ruang yang lebih baik untuk pelarian. NGO antarabangsa Turki seperti IHH juga memfokuskan dengan baik untuk bantuan pelarian Syria seperti mewujudkan sekolah-sekolah untuk anak pelarian. Manakala NGO daripada Malaysia seperti Muslim Care Malaysia (MCM) menjadi rakan kolaborasi dengan NGO Turki, setiap masa membantu pelarian Syria. Regim Bashar pernah melepaskan air empangan ke Antakia kerana berang dengan sikap kerajaan Turki yang dilihat seolah campur tangan dalam soal pengungsi dari Syria.

Penulis berpeluang belasan kali mengikuti misi bantuan Muslim Care ke sempadan Turki , sempadan Jordan yang merupakan jiran Syria, juga misi di khemah pelarian Eropah. Muslim Care Malaysia membawa bantuan musim sejuk seperti makanan, pakaian untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa peperangan yang menghuni dalam khemah dan juga bantuan untuk sekolah Muslim Care.

Dalam bidang pendidikan untuk anak-anak pelarian, MCM Syria yang diketuai oleh Muhamad Khatib. Beliau bertanggungjawab menguruskan tiga buah sekolah tajaan Muslim Care untuk anak-anak Syria. Tiga di sempadan Syria Turki manakala lima buah di dalam negara Syria yang sedang diselimuti api peperangan. Muslim Care Malaysia pernah menjalankan perniagaan menternak lembu bagi menggerakkan dana bantuan yang berterusan kepada sekolah-sekolah. Di tanah air pula, Ustaz Nazmi Karim, Exco MCM diberikan tanggungjawab khusus menyelia isu berkaitan pendidikan anak-anak pelarian Syria.

Pihak Muslim Care Malaysia sering melawat sekolah mereka di  Reyhanli. Sekolah Muslim Care mendapat pengiktirafan UNICEF dan juga kerajaan Turki sendiri. Kerap kali anak-anak seni, selebriti tersohor tanah air mengikuti rombongan MCM ke sekolah-sekolah ini dan juga khemah pelarian.

Muslim Care Malaysia yang kini mempunyai lima buah sekolah pelarian Syria akan terus memberikan komitmen berterusan untuk membantu saudara akidah terutama di musim sejuk yang sangat menggigit tulang. Bantuan rakyat Malaysia sangat besar maknanya kepada mereka, luka dan sakit mereka adalah nestapa kita yang pasti dipertanggungjawabkan di hadapan Rabbul Jalil. Jom, kita membantu!

Bantu Saudara Kita di Syria yang menderita dimusim sejuk serta wabak pandemik Covid-19.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
(Penulis ialah aktivis misi bantuan tanpa sempadan) – HARAKAHDAILY 10/11/2020

- Advertisement -