Kesannya terhadap ekonomi negara suku pertama 2021

Penganalisis Ekonomi lihat Belanjawan 2021 bantu rakyat hadapi impak COVID-19 melalui penciptaan peluang pekerjaan baharu dan unjuran peningkatan kadar KDNK Negara untuk 2021

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang antaranya membenarkan pengeluaran dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah langkah permulaan kerajaan dalam membantu rakyat negara ini.

- Advertisement -

Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, dengan dibenarkan pengeluaran sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan itu akan meringankan beban rakyat untuk tempoh setahun.

Terutama menurutnya, ia akan melegakan kalangan rakyat yang terkesan dengan kehilangan pekerjaan atau penurunan pendapatan akibat pandemik COVID-19, selain pelbagai inisiatif lain diumumkan Belanjawan 2021.

“Bersama kemudahan pengeluaran ini, banyak bantuan iringan lain akan turut menyokong rakyat menangani impak sedang dilalui. Antaranya Belanjawan 2021 memberi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), pengurangan kadar caruman minimum KWSP daripada 11 peratus kepada 9 peratus.

“Juga penurunan cukai pendapatan 1 peratus, selain inisiatif seperti Skim PENJANAKerja, one-off untuk penjawat awam, tentera, polis dan pesara, program perantisan untuk graduan, kebajikan terhadap kakitangan penerbangan.

“Kerajaan juga ternyata fokus apabila mewujudkan Majlis Pekerjaan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri, serta tidak lupa juga kepada golongan rentan peladang, petani, penternak dan nelayan,” ujar beliau.

Tambahnya, termasuk juga khusus kepada menangani penularan COVID-19 di mana Belanjawan ini boleh disifatkan merangkumkan kesejahteraan hidup, memberi pelindungan, serta menjaga ketenteraman dan keselamatan awam.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) mengulas demikian sebagai reaksi kepada gesaan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai pengeluaran caruman KWSP itu.

Pun begitu Dr Anuar mengingatkan kerajaan supaya memantau tahap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kadar pengangguran dan sejauh mana berlakunya pengurangan pendapatan rakyat terutama pada suku pertama 2021.

“Sekiranya ia tidak mencapai angka yang disasarkan oleh kerajaan, maka kerajaan boleh mempertimbangkan untuk melaksanakan Pakej Rangsangan Khas seterusnya.

“Ini untuk memberikan ruang tambahan kepada pihak yang masih terkesan dengan memberikan insentif tambahan lain atau mengkaji semula keperluan untuk meningkatkan kadar pengeluaran KWSP Akaun 1 sekiranya keadaan betul-betul mendesak,” sarannya.

Beliau percaya, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melihat impak Belanjawan 2021 ini bagi tempoh enam bulan awal terhadap rakyat sebelum merangka pelbagai lagi usaha menjamin kepentingan rakyat dan negara. – HARAKAHDAILY 10/11/2020

- Advertisement -