Mahu Malaysia lebih berperanan terhadap Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia diharap merencana langkah-langkah proaktif bersama badan antarabangsa dalam membantah ketidakadilan normalisasi Israel ke arah mengiktiraf penjajahan rejim haram itu ke atas Palestin.

Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) juga menyuarakan, Malaysia perlu bersedia mewujudkan forum kerjasama baharu negara-negara Islam bagi menggantikan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Katanya, hal itu supaya fungsi dan tugas yang lebih bertanggungjawab bagi berperanan ke hadapan dalam membela seluruh umat Islam di Palestin termasuk di negara-negara umat Islam ditindas.

- Advertisement -

“Ketika mana normalisasi sedang berjalan, kita sedia maklum bahawa sudah lebih 30 peratus tanah penduduk Palestin telah dirampas secara tidak sah oleh rejim Israel. Itu laporan oleh Ketua Hak Asasi Manusia PBB.

“Kita juga saksikan ketika ini lebih 2 juta rakyat di Semenanjung Gaza sedang dikepung dan mereka menghadapi krisis kemanusiaan dan dilaporkan lebih 4,400 penduduk Palestin sedang ditahan di seluruh penjara di Israel.

“Kita melihat bahawa badan OIC itu sendiri masih lagi dalam keadaan yang lemah, lesu dan tidak berkeupayaan untuk menjadi badan pelindung kepada rakyat Palestin khususnya dalam mengekang ketidakadilan normalisasi itu,” hujahnya.

Beliau mengemukakan pertanyaan berkaitan isu tersebut untuk jawapan lisan dari kerajaan yang telah dijawab oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato’ Kamarudin Jaffar pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

Jelas Kamarudin, isu tersebut telah mewujudkan dimensi baharu dalam dinamik geopolitik di rantau Asia Barat di mana Setiausaha Agung OIC, Dr Yousef Al-Othaimeen kekal mengulangi pendirian badan itu menyokong Palestin.

Akui beliau, Malaysia maklum bahawa Kerajaan UAE telah mengumumkan keputusan untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel pada 13 Ogos dituruti Bahrain pada 11 September dan seterusnya Sudan pada 23 Oktober lalu.

“Sememangnya langkah normalisasi hubungan dengan Israel ini yang diterajui oleh Amerika Syarikat selaku sekutu kuat Israel dalam usaha untuk mengetengahkan dan meyakinkan dunia ke atas pelan damai yang dipanggil ‘The Deal of the Century’.

“Seperti yang diketahui umum, pelan tersebut sangat berat sebelah dan hanya menguntungkan pihak Israel. Usaha Amerika Syarikat ini tidak berhenti setakat UAE, Bahrain dan Sudan sahaja, Amerika Syarikat dilihat turut melobi sokongan daripada beberapa buah negara di rantau Asia Barat.

“Seperti Arab Saudi, Kuwait dan Qatar untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel,” ujarnya memaklumkan Kerajaan Malaysia mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam urusan domestik negara lain.

Namun tegasnya, Malaysia berpendirian teguh dan berprinsip menyokong pembentukan sebuah negara Palestin yang berdaulat melalui penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan 1967 dan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Palestin.

Dato’ Kamarudin dalam turut menyatakan kekagumannya kepada Ustaz Tarmizi yang amat begitu komited terhadap perjuangan dan kebebasan rakyat di seluruh dunia bukan sahaja kes di Israel-Palestin tetapi juga di negara lain. – HARAKAHDAILY 10/11/2020

- Advertisement -